Mohd Iskandar Ibrahim


Image

Muar: Berdepan sosok popular, calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Muar tidak gentar dengan penyandang kerusi itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Mohd Helmy Abd Latif yakin angin perubahan yang berlaku ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini masih berterusan kerana BN dapat membentuk kerajaan yang stabil dan makmur.

"Saya akui setiap calon ada kekuatan, kelebihan dan keterampilan masing-masing. Saya tidak menafikan penyandang adalah seorang yang popular tetapi pilihan akhirnya di tangan pengundi dan mereka lebih bijak untuk menilai.

"Dari segi pertembungan, ini adalah pertembungan terbuka dan saya yakin saya mampu meyakinkan orang Muar bahawa orang Muar sahaja yang faham orang Muar itu sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan mesra di sekitar Pasar Tani di Stadium Mini Sultan Ibrahim di sini, hari ini.

Mohd Helmy berkata, sejak memulakan kempen sejurus selesai proses penamaan calon, kebanyakan pengundi yang ditemuinya menyuarakan harapan menginginkan orang tempatan menjadi wakil rakyat mereka.

"Saya yakin kerana saya berasal dari Muar, dilahirkan di Muar, bersekolah di Muar dan dibesarkan di Muar. Saya berharap pencalonan saya dapat diterima penduduk Muar," katanya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Muar berkata, selain mendekati pengundi, usahanya juga ditumpukan untuk menawan hati golongan muda bagi meraih sokongan mereka susulan pelaksanaan Undi18.

"Media sosial memainkan peranan penting di waktu ini, saya melihat trend ini untuk mereka yang berusia 50 tahun ke bawah, hanya mendapat maklumat melalui media sosial. Jadi itu akan kita memperkasakan supaya maklumat sampai kepada pengundi.

"Mungkin kalau saya pergi ke mana-mana, tak semua pengundi boleh saya jumpa tetapi melalui media sosial, mereka lebih dekat untuk mengetahui mengenai saya," katanya.

Bagi kerusi Parlimen Muar, Mohd Helmy berdepan saingan tiga penjuru membabitkan Syed Saddiq yang mewakili MUDA dan Abdullah husin dari Perikatan Nasional (PN).

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Syed Saddiq yang bertanding menggunakan logo PKR merampas kerusi Parlimen Muar selepas menewaskan penyandangnya dari BN, Datuk Seri Razali Ibrahim dan calon PAS, Abdul Aziz Talib dengan majoriti 6,953 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2022 @ 12:29 PM