Oleh Mohd Iskandar Ibrahim

Muar: Pengundi di Parlimen Muar mahukan wakil rakyat yang mudah dihubungi dan sentiasa berada di kawasan, bukan yang hanya 'singgah' di kawasan dan muncul secara bermusim serta tidak mampu menyelesaikan masalah rakyat.

Fasilitator bebas, Shah Ezam Mohameddin, 49, berkata penduduk mahu seorang wakil rakyat yang sentiasa berada Muar, mudah ditemui dan menjadi jambatan penghubung antara rakyat serta kerajaan.

"Sebagai pengundi kita memang memerlukan calon dan wakil rakyat yang memang ada di Muar, bukan hanya sekadar datang singgah dan kemudiannya balik. Kami perlukan pembangunan yang lebih hebat.

"Kalau setiap kali ada aduan (sebelum ini), yang datang hanyalah pegawai khas atau wakil sahaja. Rakyat Muar mahukan Ahli Parlimen mudah untuk berjumpa dengan mereka. Itu harapan kita di Muar," katanya.

Pegawai Teknologi Maklumat syarikat swasta, Teong Hock Hon, 36, turut berkongsi harapan serupa dan tidak mahu bakal wakil rakyat yang hanya gah di media sosial tetapi gagal membantu rakyat.

Katanya, Muar memerlukan seorang wakil rakyat yang bertanggungjawab dan meletakkan keperluan penduduk sebagai keutamaan.

"Apa yang paling penting ialah penduduk mudah berjumpa dengan wakil rakyat mereka kerana beliau menjadi rujukan kepada rakyat setiap kali ada sebarang masalah.

"Kita tidak mahu pemimpin yang hanya mampu 'main wayang' dan 'bertiktok' sahaja. Kita mahu pemimpin yang boleh membantu," katanya.

PARLIMEN Muar di Johor dikenal pasti sebagai kawasan panas' Pilihan Raya Umum ke-15. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
PARLIMEN Muar di Johor dikenal pasti sebagai kawasan panas' Pilihan Raya Umum ke-15. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Sementara itu, mahasiswa, Haqim Malek, 23, mengharapkan supaya Ahli Parlimen yang memenangi kerusi berkenaan kelak mampu membawa masuk lebih banyak pembangunan dan peluang pekerjaan.

"Jika dilihat kepada corak anak muda di Muar, ramai yang berhijrah ke luar. Mereka tidak mencari pekerjaan di sini kerana peluang yang ada amat terhad. Sebagai anak muda, sudah tentu peluang pekerjaan yang setaraf dengan kelulusan pendidikan amat penting bagi kami," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kerusi Parlimen Muar menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Helmy Abd Latif; calon Perikatan Nasional (PN), Abdullah Husin dan penyandang, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA).

Syed Saddiq sebelum ini memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) menggunakan logo PKR selepas menewaskan calon BN, Datuk Seri Razali Ibrahim dan Abdul Aziz Talib dari PAS dengan majoriti 6,953 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2022 @ 10:44 AM