BERNAMA
Image


Pagoh: Ekonomi, alam sekitar, pendidikan dan wanita adalah antara yang akan dititikberatkan dalam manifesto Perikatan Nasional (PN) untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijangka dilancarkan di Kuala Lumpur, esok.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata gabungan itu kini sedang memperincikan semua perkara yang disifatkan penting untuk diambil kira supaya boleh dilaksanakan dan ditunaikan untuk rakyat manakala aspek lain yang akan dilihat ialah isu sosial, alam sekitar dan lain-lain perkara.

"Saya nak menyatakan bahawa kami tidak mahu berjanji. Kami akan usahakan dan laksanakan sepenuhnya apa yang kami janjikan dalam manifesto.

"Ini akan kami maklumkan dan berharap ia mendapat tarikan pengundi di seluruh negara," kata beliau kepada pemberita selepas proses penamaan calon bagi kerusi Parlimen Pagoh di Pusat Konvensyen Hab Pendidikan Tinggi Pagoh di sini hari ini.

Mengakui pernah dinasihati untuk berpindah ke kawasan Parlimen lain, penyandang kerusi Pagoh itu enggan berbuat demikian dan menyatakan ini adalah kali ke-11 beliau bertanding di kerusi itu bermula dari 1978 dan gelanggang terakhirnya dalam PRU.

"Pagoh dan masyarakatnya ada tempat istimewa di hati saya. Dalam sejarah politik saya selama lebih 40 tahun, saya tidak pernah berpindah ke kawasan Parlimen lain.

MUHYIDDIN Yassin (tengah) dan Iskandar Shah (kanan) selepas menyerahkan borang penamaan calon di Pusat Penamaan Calon di Pusat Konvensyen Hab Pendidikan Pagoh, Muar Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
MUHYIDDIN Yassin (tengah) dan Iskandar Shah (kanan) selepas menyerahkan borang penamaan calon di Pusat Penamaan Calon di Pusat Konvensyen Hab Pendidikan Pagoh, Muar Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan

"Saya setia memberi khidmat kepada masyarakat di Pagoh dan pengundi di Pagoh juga sentiasa setia memberi sokongan kepada saya pada setiap kali pilihan raya. Terima kasih," kata beliau lagi.

Muhyiddin, yang juga Presiden Bersatu itu berkata PN, yang dipimpinnya turut menawarkan sebuah kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil untuk semua rakyat.

Beliau akan menghadapi pertandingan tiga penjuru, bertemu calon Barisan Nasional iaitu bekas Ahli Parlimen Muar Datuk Seri Razali Ibrahim dan calon Pakatan Harapan dari PKR Iskandar Shah Abdul Rahman.

Terdahulu, pemimpin PN kelahiran Muar itu menjadi calon pertama yang menghantar borang pencalonan pada 9.03 pagi, diikuti Iskandar Shah, lima minit kemudian dan Razali pada 9.12 pagi.

Kira-kira 1,000 penyokong parti yang bertanding telah berkumpul di pekarangan kompleks itu sejak 9 pagi.

Muhyiddin, 75, memenangi kerusi Parlimen berkenaan pada PRU lalu dengan majoriti 6,927 undi menewaskan calon PAS Ahmad Nawfal Mahfodz dan calon BN Ismail Mohamed.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 3:14 PM