Selamat Takim beramah mesra dengan penduduk ketika Program Sarapan Pagi Bersama Penduduk di Warung Mak Jah Parit Yusof, Sungai Balang sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Selamat Takim beramah mesra dengan penduduk ketika Program Sarapan Pagi Bersama Penduduk di Warung Mak Jah Parit Yusof, Sungai Balang sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Suzalina Halid


Muar: "Selagi belum sampai ke titik akhir, saya akan terus bekerja kuat menyantuni pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang ini," demikian tekad calon Barisan Nasional (BN) di DUN Sungai Balang, Selamat Takim.

Calon yang lebih dikenali sebagai Cikgu Selamat, 57, berkata, beliau mengambil berat soal menyantuni semua pengundi termasuk masyarakat Tionghua dan tidak akan mudah berpuas hati hinggalah wisel penamat ditiup, 12 Mac ini.

Katanya, walaupun mempunyai kelebihan sebagai anak tempatan selain tugasnya yang pernah menjadi guru menyebabkan dirinya agak dekat dalam kalangan masyarakat, namun beliau tidak mahu mengambil mudah soal mendekati pengundi.

"Selagi belum sampai titik terakhir, selagi itulah saya tidak akan berpuas hati dalam aspek menyantuni pengundi dan akan pergi ke semua kawasan tanpa ada yang tertinggal.

"Sebagai seorang calon yang diamanahkan oleh parti saya akan teruskan perjuangan untuk memastikan DUN Bukit Balang kekal menjadi milik BN," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit Mesjid, Jalan Yusof, di sini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), DUN Sungai Balang dimenangi wakil BN, Zaiton Ismail dengan 8,022 undi mengalahkan calon dari PKR dan PAS.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini, Selamat berdepan saingan empat penjuru membabitkan calon dari Perikatan Nasional (PN), Datuk Zainuddin Sayuti; Intan Nadira Shafika Mustafa Kamal @ Mohd Najib (PEJUANG) dan Abdullah Sahid (PKR).

DUN Sungai Balang mempunyai 30,121 pengundi dengan 21,792 adalah pengundi Melayu, manakala 7,777 pengundi Cina, 55 India dan 497 lain-lain.

Sebelum ini, UMNO mengumumkan Ketua Pemuda UMNO Parlimen Muar, Mohd Helmi Abdul Latif sebagai calon di DUN Sungai Balang yang terletak di bawah Parlimen Muar, namun ditukar dengan Selamat sebelum penamaan calon.

Mengulas mengenai perkara itu, Selamat berkata, ia adalah suatu proses biasa dan sebagai seorang ahli parti, menjadi tanggungjawabnya memikul tugas itu.

Malah katanya, beliau turut mendapat sokongan daripada Helmi dan penyandang kerusi DUN ini yang sama-sama turun membantunya berkempen.

Bercerita mengenai perancangannya di Sungai Balang, beliau akan meneruskan legasi pembangunan golongan petani dan pesawah di sini dengan mengembangkan peranan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) khususnya membabitkan tanaman kontan termasuk aspek pemasaran produk.

Selain itu katanya, besar harapannya untuk membangunkan pusat pelancongan agro di Sungai Balang termasuk meluaskan ternakan kupang di Jeti Sungai Balang.

"Sehingga kini ternakan kupang ini hanya untuk hasil tempatan, tidak dapat tampung permintaan luar namun kita ingin kembangkan, ia boleh juga menarik kunjungan pelancong sebagai pusat makanan laut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 4:17 PM