Latifah Arifin

Kota Damansara: Acara pertama larian pada waktu malam melalui terowong lebuh raya di Malaysia yang berlangsung di Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) malam ini melakar kejayaan tersendiri apabila mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR).

Larian 'Anak Sarawak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) DASH Penchala Link Tunnel Night Run 2022' memecah rekod bagi larian terpanjang melalui terowong pada waktu malam, iaitu sejauh 780 meter dengan melalui struktur halangan bunyi sepanjang 260 meter.

LLM dalam kenyataannya berkata, penganjuran acara itu diadakan tepat pada masanya iaitu selepas negara berdepan tempoh sukar hampir tiga tahun susulan penularan Covid-19.

"Sekarang kita kembali kepada kehidupan biasa, jadi marilah kita hargai setiap masa yang diberi sebaiknya.

"Kami mendapat sokongan padu rakyat Malaysia dengan penyertaan 5,000 peserta," katanya.

 KHAIRY bersama Fadillah melepaskan peserta larian  DASH Penchala Link Tunnel Night Run di Plaza Tol Kota Damansara. FOTO Owee Ah Chun.
KHAIRY bersama Fadillah melepaskan peserta larian DASH Penchala Link Tunnel Night Run di Plaza Tol Kota Damansara. FOTO Owee Ah Chun.

Larian anjuran Persatuan Sukarelawan Sarawak dengan kerjasama Kementerian Kerja Raya (KKR), LLM, DASH dan Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur (SPRINT) itu disempurnakan oleh Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Sri Fadillah Yusof dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Fadillah dan Khairy yang turut mengambilbahagian dalam larian berkenaan melakukan 'flagoff' bagi dua kategori dipertandingkan iaitu Ultra Sonic untuk larian sejauh empat kilometer (km) dan Super Sonic bagi 12 km.

Acara itu menawarkan hadiah untuk terbuka lelaki dan wanita serta hadiah istimewa untuk kategori anak Sarawak.

Lebuh raya DASH sepanjang 20.1 kilometer dengan 13 persimpangan keluar masuk dibuka dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 13 Oktober lalu dengan pengguna menikmati perjalanan tanpa bayaran tol sehingga 30 November ini.

Pembinaan lebuh raya itu yang dimulakan pada Ogos 2016 menghubungkan tiga lebuh raya utama iaitu Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT).

 SEBAHAGIAN peserta larian  Dash Penchala Link Tunnel Night Run di Plaza Tol Kota Damansara. FOTO Owee Ah Chun.
SEBAHAGIAN peserta larian Dash Penchala Link Tunnel Night Run di Plaza Tol Kota Damansara. FOTO Owee Ah Chun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2022 @ 12:46 AM