LIMA laluan ke Mutiara Damansara, Damansara Perdana dan Flora Damansara ditutup secara kekal bagi tempoh 24 jam. FOTO Ihsan PDRM
LIMA laluan ke Mutiara Damansara, Damansara Perdana dan Flora Damansara ditutup secara kekal bagi tempoh 24 jam. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin

LIMA laluan ke Mutiara Damansara, Damansara Perdana dan Flora Damansara ditutup secara kekal bagi tempoh 24 jam susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua bermula jam 12 tengah malam, Jumaat ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, penutupan jalan itu bertujuan bagi pematuhan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (2020).

“Antara laluan ditutup adalah Penchala Link arah Damansara susur masuk ke Mutiara Damansara ke Damansara Perdana, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) susur masuk ke Mutiara Damansara ke Damansara Perdana dan Lebuhraya LDP susur masuk ke Jalan PJU 8/8 Flora Damansara.

“Selain itu, susur keluar ke Jalan PJU 7/8 (Ikea) dan persimpangan lampu isyarat Jalan PJU 8/1 Damansara Perdana Susur Penchala Link ke Kepong turut ditutup,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Nik Ezanee berkata, laluan alternatif keluar dari kawasan berkenaan adalah dari Damansara Perdana ke Penchala Link melalui Jalan PJU 7/9 Mutiara Damansara (BHP) dan dari Damansara Perdana ke Persiaran Surian melalui Jalan PJU 7/1 Mutiara Damansara.

“Bagaimanapun, laluan ditutup masih boleh dilalui kenderaan bomba, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ambulans.

“Kami akan meletakkan anggota bertugas secukupnya di setiap lokasi bagi mengawal keselamatan dan kelancaran lalu lintas,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan menambah sekatan jalan raya di Jalan PJU 7/1 Mutiara Damansara (MRT Mutiara Damansara) di kedua-dua arah bermula 12 tengah malam, Jumaat ini.

“Setakat ini, ada dua sekatan jalan raya di kawasan pentadbiran Balai Polis Damansara sebelum ini iaitu di Kilometer 0.3 Lebuhraya Sprint menghala Plaza Tol Damansara dan Persiaran Surian Pelangi Damansara kedua-dua arah,” katanya.

Katanya, orang ramai diminta mematuhi arahan PKP dan bersabar dalam menghadapi kesulitan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Penutupan jalan dan penambahan sekatan jalan raya ini bertujuan untuk mengehadkan perjalanan orang ramai supaya mematuhi arahan PKP fasa kedua serta memutuskan rantaian wabak Covid-19.

“Tindakan yang diambil ini secara tidak langsung meletakkan keselamatan sebagai keutamaan pihak polis di daerah ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2020 @ 7:30 PM