CALON P107 Sungai Buloh Pakatan Harapan, Datuk R Ramanan. FOTO HAZREEN MOHAMAD
CALON P107 Sungai Buloh Pakatan Harapan, Datuk R Ramanan. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Noor Atiqah Sulaiman


Image

Sungai Buloh: Calon Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Sungai Buloh, Datuk R Ramanan menafikan beliau merajuk selepas parti itu mengadakan perbincangan mengenai kedudukannya sebagai calon di kawasan berkenan.

"Saya langsung tidak merajuk ketika media melaporkan ada penukaran berkaitan kerusi Parlimen (sedangkan) watikah sudah ada di tangan saya.

"Tetapi ketika itu tiada siapa (media) yang datang berjumpa saya," katanya kepada pemberita selepas Penamaan Calon bagi Parlimen Sungai Buloh di Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Ramanan menghilangkan diri dan tidak mahu bertemu media sebaik sahaja menghadiri majlis pengenalan calon PH pada 2 November lalu.

Kedudukan Ramanan yang juga Timbalan Ketua Penerangan 1, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dikatakan goyah apabila Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli seperti memberi bayangan parti itu berkemungkinan menukar calonnya selepas Barisan Nasional (BN) mengumumkan Khairy Jamaluddin sebagai calon di kawasan berkenaan.

Malah, Rafizi dalam ciapannya juga memaklumkan, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas menerima pelbagai pandangan berkaitan kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, Ramanan berkata walaupun terdapat isu penukaran calon seperti yang dilaporkan, beliau yakin keputusan yang dibuat oleh parti adalah yang terbaik.

"(Pencalonan) saya ada keputusan parti, jadi kita ikut. Sekarang saya perlu bekerja keras untuk menang kerusi ini bagi Pakatan Harapan.

"Sebenarnya ada banyak yang boleh saya tawarkan kepada penduduk Sungai Buloh, saya akan jelaskan nanti," katanya.

Ketika ditanya, Ramanan mengakui Khairy adalah calon 'underdog'.

"Saya setuju Khairy (calon) 'underdog' tetapi jika di media sosial, saya yang 'underdog'. Tetapi saya yakin dapat pertahankan kerusi ini," katanya.

Parlimen Sungai Buloh hari ini memperlihatkan pertembungan tujuh penjuru antara BN, PH, PN, Parti Rakyat Malaysia (PRM), Gerakan Tanah Air (GTA) serta dua calon bebas.

Selain Ramanan dan Khairy, Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Mohd Jusni Hashim mengumumkan, calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) di P107 itu Mohd Ghazali Md Hamin (PN) dan Mohd Akmal Yusoff (GTA), Ahmad Jufliz Faiza (PRM) serta dua calon Bebas iaitu Syed Abdul Razak Syed Long Al Sagoff serta Nurhaslinda Basri (Sifulinda).

Parlimen berkenaan mempunyai 158,090 pengundi di dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Paya Jaras dan Kota Damansara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 2:40 PM