SIVARASA. FOTO arkib NSTP
SIVARASA. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Penyandang kerusi Parlimen Sungai Buloh selama tiga penggal, R Sivarasa menerima keputusan sepenuhnya Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggugurkannya bagi mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Sivarasa dalam kenyataan hari ini berkata, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira keadaan kesihatannya dan sebarang faktor lain yang difikirkannya relevan.

"Dia berhak untuk membuat keputusan muktamad...sejak tiga bulan lalu, saya menghadapi masalah dengan pita suara dan sedang menggunakan pembesar bunyi pertuturan untuk membantu dan melindungi suara saya ketika ini," sambil menambah bahawa adalah lebih penting untuk fokus kepada kempen bagi Pakatan Harapan (PH) menawan Putrajaya.

Sivarasa yang juga Ketua Cabang PKR Sungai Buloh berkata, Anwar telah membangkitkan kebimbangan mengenai keadaan kesihatannya dan sama ada beliau dapat menguruskan kempen pilihan raya.

Namun, Sivarasa berkata, beliau mempunyai pandangan berbeza dan menjelaskan bagaimana beliau akan menguruskan kempen secara berbeza dengan mengambil kira keadaan suaranya.

Tempat Sivarasa diganti oleh Timbalan ketua Penerangan 1 PKR, Datuk R Ramanan manakala Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Pada PRU-14, Parlimen Sungai Buloh dimenangi oleh Sivarasa selepas memperoleh majoriti 26,634 undi menewaskan Nuridah Salleh daripada Pas, A Prakash Rao (BN) dan wakil Parti Sosialis Malaysia (PSM), Zainurizzaman Moharam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2022 @ 5:23 PM