Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen P119 Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (kanan), beramah mesra bersama Calon AMANAH, Khalid Samad, yang turut berkempen  ketika melakukan walkabout di kawasan gerai dan peniaga di Pasar Wirawati, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen P119 Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (kanan), beramah mesra bersama Calon AMANAH, Khalid Samad, yang turut berkempen ketika melakukan walkabout di kawasan gerai dan peniaga di Pasar Wirawati, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Ahmad Suhael Adnan


Kuala Lumpur: Calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin perlu memberi tumpuan untuk memenangi kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) terlebih dahulu sebelum bercerita mengenai jawatan dalam pentadbiran negara dan parti.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, soal menjadi Perdana Menteri sama ada ketika ini atau pada masa depan bukan perkara utama, sebaliknya beri tumpuan untuk memenangi sebanyak mungkin daripada 222 kerusi Parlimen.

Menurutnya, usaha memastikan kemenangan BN bukan tugas individu, sebaliknya perlu bergerak sebagai satu pasukan dan membentuk kerajaan menerusi Ahli Parlimen yang berkemampuan dan memiliki kredibiliti serta boleh bekerjasama untuk memulihkan ekonomi negara yang terjejas.

"Kalau ramai orang menyokong dia (Khairy menjadi Perdana Menteri), kenapa tidak? Tak ada masalah.

"Tapi soalnya sekarang, kita bukan bercakap soal Perdana Menteri, tapi kita bercakap tentang nak dapatkan 222 Ahli Parlimen yang mempunyai kelayakan, kecekapan dan pengalaman untuk membangunkan semula ekonomi negara kita yang terjejas.

"Satu orang tak boleh buat, kita perlukan satu pasukan. Ahli Parlimen yang mempunyai pandangan yang sama, bakat yang sama, kebolehan yang sama untuk membangunkan negara ini," katanya pada pemberita ketika melawat sekitar Kampung Datuk Keramat, di sini, hari ini.

Selasa lalu, Khairy dalam satu ceramah di Sungai Buloh menyatakan hasrat memimpin Umno dan menjadi Perdana Menteri satu hari nanti, malah yakin impian itu mampu dicapai sekiranya beliau berjaya menawan kerusi Parlimen Sungai Buloh untuk BN.

Ketika ini, Khairy berdepan tugas getir untuk merampas kerusi Sungai Buloh yang dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) selama tiga penggal dengan keputusan PRU-14 menyaksikan R Sivarasa yang mewakili PH menang dengan majoriti 26,634 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2022 @ 2:26 PM