RAFIZI ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR, Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
RAFIZI ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR, Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
BERNAMA

Petaling Jaya: Perbincangan mengenai calon paling sesuai bertanding di Parlimen Sungai Buloh adalah antara yang paling panjang dan rumit, kata Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli.

Beliau mengakui wujud perbezaan pendapat antara jawatankuasa calon dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung cadangan menggugurkan penyandang kerusi itu, Sivarasa Rasiah.

"Jawatankuasa calon dan saya sendiri mencadangkan supaya Sivarasa dikekalkan berdasar rekod prestasi beliau namun Presiden ada pandangan berbeza... oleh itu, pandangan itu dihormati kerana bidang kuasa menetapkan calon adalah kuasa Presiden dalam mana-mana parti.

"Semalam, saya sampaikan sekali lagi mengikut maklum balas pengundi (di Sungai Buloh) supaya dipertimbangkan balik calon tetapi saya hormat keputusan Presiden yang merasakan lebih baik mengekalkan calon supaya kempen yang sedang berjalan dapat diteruskan," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), PKR mempertaruhkan Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR Datuk R Ramanan di Parlimen Sungai Buloh yang antara lain bakal berdepan Khairy Jamaluddin yang mewakili Barisan Nasional.

Anwar, pada Majlis Pengumuman calon PKR, menggugurkan lapan penyandang kerusi Parlimen di Semenanjung iaitu Sivarasa (Sungai Buloh), Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya), Johari Abdul (Sungai Petani), Natrah Ismail (Sekijang), June Leow (Hulu Selangor), Tan Yee Kew (Wangsa Maju), Dr Lee Boon Chye (Gopeng) dan Chan Ming Kai (Alor Setar).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2022 @ 6:47 PM