AHMAD Yakob (tengah) pada Majlis Pengisytiharan Calon PRU-15 PN Kelantan di Dataran Warisan Stadium Muhammad IV. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
AHMAD Yakob (tengah) pada Majlis Pengisytiharan Calon PRU-15 PN Kelantan di Dataran Warisan Stadium Muhammad IV. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Perikatan Nasional (PN) Kelantan malam ini mengumumkan Mejar Jeneral (B), Datuk Khlir Mohd Nor sebagai calon bertanding di Parlimen Ketereh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengumuman itu sekali gus menafikan spekulasi mendakwa penyandang kerusi itu, Tan Sri Annuar Musa akan bertanding menggunakan tiket PN, selepas tidak dicalonkan sebagai calon Barisan Nasional (BN).

Pengisytiharan calon PRU-15 PN dibuat Pengerusi PN Kelantan, Datuk Ahmad Yakob di sini.

Khlir yang juga bekas Ketua Perisikan Tentera Darat adalah anak kelahiran Kampung Kubang Kiat, Ketereh.

Media sebelum ini melaporkan, Annuar memberi bayangan tetap akan bertanding di Parlimen Ketereh meskipun namanya tidak dicalonkan BN.

BN semalam mengumumkan Parlimen Ketereh akan diwakili calonnya, Marzuani Ardila Ariffin yang juga Ketua Puteri Umno Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2022 @ 11:03 PM