Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Ketua Pergerakan Puteri Umno Kelantan Marzuani Ardila Ariffin, ditawarkan untuk menjadi calon kerusi Parlimen Ketereh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Penyandang kerusi parlimen itu, Tan Sri Annuar Musa ketika mendedahkan perkara itu berkata, beliau sendiri dimaklumkan oleh Marzuani Ardila yang juga Ketua Puteri Umno Ketereh.

"Ketua Puteri Umno itu dipanggil mengadakan pertemuan dengan pucuk pimpinan parti sebelum ini tanpa pengetahuan saya.

"Selepas itu, Ketua Puteri Umno itu merujuk tawaran berkenaan kepada saya. Saya tidak tahu sama ada beliau menerimanya atau tidak.

"Saya cuma memaklumkan, tanya hati sendiri dan kalau berasakan mampu menang, maka bertandinglah. Jangan bertanding semata-mata hanya untuk bertanding," katanya hari ini.

Pada masa sama, Annuar turut memaklumkan beliau tidak menerima sebarang jemputan berhubung Majlis Pengumuman Calon Barisan Nasional (BN) yang diadakan malam ini.

"Saya tidak terima jemputan, maka saya tidak pergilah. Jadual saya juga padat dengan pelbagai program di Kelantan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2022 @ 12:41 PM