TUAN Man Tuan Ibrahim berucap pada Majlis Pengumuman Bakal Calon PRU-15 Perikatan Nasional (PN) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. FOTO Saifullizan Tamadi
TUAN Man Tuan Ibrahim berucap pada Majlis Pengumuman Bakal Calon PRU-15 Perikatan Nasional (PN) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. FOTO Saifullizan Tamadi
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan ahlinya supaya terus bersama dan mengikut arahan pucuk pimpinan ketika sedang diuji dalam perjuangan ketika ini.

Tuan Ibrahim berkata, ketika ini, semua sedang diuji dalam perjuangan, "di mana waktu ribut tengah kuat, ikat tali keledar, duduk di tempat masing-masing, dengar dan ikut arahan".

"Jangan ada yang buka tali keledar kerana merasa selamat dan kuat.

"Jangan ada yang cuba membantah arahan dan merasa lebih tahu," katanya dalam kenyataan di Facebooknya, hari ini.

Menurutnya, jangan tinggal tempat duduk masing-masing kerana berasa kuat untuk melawan gelombang ribut ini.

"Telah banyak kapal yang karam, telah ramai yang terhumban, telah ramai yang menderita penyesalan dan telah ramai yang dilaknat Tuhan.

"Berada dalam bahtera besar perjuangan akan sering diuji. Menuntut kesabaran tinggi. Kekuatan rohani, ketabahan jasmani dan aqli. Rasional dalam tindakan, jiwa besar sebagai anggota haraki," katanya.

Beliau berkata, tiada kebahagiaan selain merasa aman dan tenteram "apabila ribut berlalu, badai menghilang sedang kita terus berada dalam medan perjuangan untuk bertemu Tuhan sekalian alam".

"Nasihat buat diri dan anggota jemaah," katanya.

Terdahulu Perikatan Nasional (PN) malam tadi mengumumkan akan bertanding di 169 kerusi Parlimen dan 116 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengumuman calon itu dibuat Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini.

Muhyiddin berkata, bagi peringkat Parlimen, Bersatu akan bertanding di 74 kerusi; Pas (64 kerusi); Gerakan (20 kerusi) dan Bersekutu (11 kerusi).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2022 @ 9:40 AM