WAN Rosdy (kiri) dan Tuan Ibrahim. FOTO arkib NSTP
WAN Rosdy (kiri) dan Tuan Ibrahim. FOTO arkib NSTP
Asrol Awang

Kuantan: Wakil Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man telah mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Pengesahan perbincangan itu dimaklumkan oleh Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menerusi Facebook, hari ini.

"Berkaitan pembentukan kerajaan negeri Pahang, wakil Majlis Tertinggi PN Datuk Seri (Tuan Ibrahim) telah mengadakan perbincangan dengan Pengerusi BN Pahang (Wan Rosdy).

"Hari ini, akan diadakan perbincangan selanjutnya," kata Saifuddin.

Menerusi kenyataan media semalam, Majlis Tertinggi PN melantik Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga Timbalan Presiden Pas untuk mengetuai rundingan pembentukan Kerajaan Pahang.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), PN Pahang memperoleh 17 daripada 41 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Barisan Nasional (BN) 16 kerusi dan Pakatan Harapan (PH) lapan kerusi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2022 @ 12:08 PM