AHMAD Zahid disambut  penyokongnya selepas penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-15 di Dewan Gemilang Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh hari ini. FOTO Bernama.
AHMAD Zahid disambut penyokongnya selepas penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-15 di Dewan Gemilang Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh hari ini. FOTO Bernama.
Muhammad Yusri Muzamir


Image

Kuala Lumpur: Semua jentera Barisan Nasional (BN) diseru supaya kekal fokus dan memanfaatkan keseluruhan tempoh berkempen bagi menjamin kemenangan gabungan itu, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, persediaan itu perlu dibuat bagi menangkis tohmahan dan propaganda parti lawan terhadap kepemimpinan gabungan itu.

Ini kerana, katanya, parti lawan maklum mengenai kekuatan sebenar BN terletak pada muafakat jutaan ahlinya yang diterjemahkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, sebelum ini.

"Ingatlah kita sedang menggalas kisah perjuangan yang ikhlas dan jauh lebih mustahak berbanding perjuangan sosok tertentu.

"Kita sudah mara sejauh ini sejak PRU-14, menghampiri destinasi, maka jangan terhenti langkah dan sematkan perjuangan kita semata-mata adalah BN," katanya menerusi catatan di laman Facebook, malam ini.

Ahmad Zahid berkata, musuh juga tidak akan berhenti menyebarkan fitnah dan propaganda terhadap pemimpin BN, seperti dilakukan pada PRU-14.

"Mereka berusaha mengadu domba kepimpinan BN dengan harapan ada penyokong yang terpedaya seperti 9 Mei 2018.

"Justeru jangan benarkan bisikan mereka berjaya kali ini. Usah tewas kepada perang psikologi seperti sebelum ini," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno mengakui, parti lawan akan menggunakan strategi menyerang kepemimpinan BN, terutamanya beliau kerana melihat perkara itu sebagai ancaman politik mereka.

"Sehingga masing-masing gigih menyebarkan naratif palsu konon sokong BN bermakna sokong PH, atau sokong BN bermakna sokong PN.

"Usah peduli dan teruskan momentum kemuafakatan BN kerana kesepakatan kita hanyalah semata-mata untuk BN. Insya-Allah sepakat membawa berkat," katanya yang juga penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk.

Ahmad Zahid turut meminta agar semua bekas wakil rakyat gabungan itu yang tidak tercalon pada PRU-15 supaya tidak meratap perkara berkenaan, sebaliknya terus bertaut pada perjuangan BN.

Beliau juga berterima kasih kerana bekas wakil rakyat berkenaan kerana kekal bersama BN dan memberi sokongan kepada calon baharu yang juga rakan seperjuangan masing-masing.

"Realiti perjuangan BN tidak pernah tentang mana-mana individu, sebaliknya tentang apa yang mustahak untuk masa depan parti, rakyat dan negara.

"Ada akar umbi bertanya mengapa BN tidak mencalonkan nama tertentu untuk memberi peluang kepada muka baharu. Pada saya inilah pengorbanan yang seterusnya yang harus dilakukan demi memastikan BN memenuhi aspirasi kestabilan dan kemakmuran negara.

"Pemimpin datang dan pergi. Saya juga tentunya apabila telah tiba masa dan ketikanya suatu hari nanti perlu memberi laluan kepada yang baharu," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, BN pada PRU-15 menampilkan calon terdiri daripada gandingan muka lama dan baharu yang berpengalaman dan sarat dengan pengetahuan, selain memiliki ciri boleh menang, diterima dan disukai (WALI).

/.

Katanya, calon berkenaan antara lain dihantar ke gelanggang PRU-15 dengan semangat kesetiaan dan tekad perjuangan, mengembalikan BN sebagai kerajaan dominan, pada 19 November ini.

"Mereka ini adalah 'best of the best' (terbaik antara yang terbaik) daripada BN untuk menggalas amanah parti dan rakyat bagi memastikan kestabilan demi kemakmuran di Malaysia.

"Calon BN ini juga yang sudah disaring dan diketahui tidak beralih kepada naratif politik berbeza ketika (BN) menjadi pembangkang mahupun kerajaan.

"Insya-Allah calon yang diketengahkan ini mampu beri perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan negara, sekali gus mengorak sebuah muafakat rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 8:26 PM