Wan Faizal Ismayatim; Kristy Inus; Suzianah Jiffar; Mohd Izham Unnip Abdullah; Olivia Miwil; Ryan Stanley dan Brandan John


CALON Barisan Nasional (BN) Sabah menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) disifatkan gabungan kukuh antara muka baharu dan lama yang saling melengkapi dalam satu pasukan.

Pengerusi BN Sabah, Tan Sri Musa Aman berkata, BN Sabah menyenaraikan barisan terbaik terdiri golongan muda yang dinamik serta pemimpin lama berpengalaman luas untuk bertanding di 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 25 kerusi Parlimen.

"Ini barisan terbaik yang membentuk gabungan kukuh dan saling melengkapi dalam satu pasukan BN, satu perjuangan dan satu barisan," katanya ketika menyampaikan ucapan ketika majlis pengumuman calon BN Sabah di Bangunan UMNO negeri di Kota Kinabalu, hari ini.

Menerusi senarai calon itu, BN Sabah meletakkan enam muka baharu bagi kerusi Parlimen dan 16 bagi DUN, manakala empat calon bakal membuat penampilan semula serta tujuh bertukar kerusi.

Musa yang juga Ketua Menteri Sabah, seterusnya mengingatkan penyokong, ahli serta pemimpin BN di semua peringkat supaya mengukuhkan semangat setiakawan dan memantapkan perjuangan demi memastikan kejayaan BN.

"Saya selalu sebut Musa Aman tak penting, yang penting perjuangan parti, mesti memastikan kemenangan parti, bukan individu kerana kita mahu parti meneruskan kesinambungan mambawa kemajuan kepada rakyat dan negeri.

"Apa juga keputusan pucuk pimpinan kita akur, jangan marah, jangan merajuk... kita kena tolak ansur, percaya pada kepemimpinan parti.

"(Yang tidak dicalonkan) terimalah dengan lapang dada... kita tahu ada yang marah dan berkecil hati, tetapi jangan simpan apa-apa perasaan, terima qada dan qadar," katanya.

Berikutan itu, Musa yang akan mempertahankan DUN Sungai Sibuga, meminta bakal calon BN supaya terus turun ke kawasan masing-masing dan bekerja kuat demi memastikan sekongan rakyat terhadap parti itu terus meningkat.

"Kita boleh menang besar, (tetapi) kita akan wujud masalah kalau ada gunting dalam lipatan, musuh dalam selimut... jangan sabotaj parti, kita semua kerja kuat bertahun-tahun, jangan kerana marah, persiapan kita sekian lama dirosakkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 April 2018 @ 11:17 AM
KETUA Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman bersama ahli parti komponen Barisan Nasional (BN) melaungkan kata-kata semangat selepas pengumuman calon, di Bangunan UMNO, Kota Kinabalu. FOTO NSTP/MALAI ROSMAH TUAH.
KETUA Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman bersama ahli parti komponen Barisan Nasional (BN) melaungkan kata-kata semangat selepas pengumuman calon, di Bangunan UMNO, Kota Kinabalu. FOTO NSTP/MALAI ROSMAH TUAH.