Tuan Ibrahim Tuan Man.
Tuan Ibrahim Tuan Man.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Pemimpin Pas yang tidak terpilih menjadi calon pada Pilhan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diminta berlapang dada dan tidak menukar haluan hidup kerana kecewa tidak tercalon.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kepada mereka yang tidak terpilih terimalah dengan lapang dada kerana Allah mengangkat taklif (beban) dari mereka, meringankan hisab di akhirat.

Menurutnya, jangan tukar haluan hidup semata-mata rasa kecewa kerana tidak terpilih. Mungkin ada tempat yang sesuai yang sedang disusun oleh Allah.

"Kepada yang diamanahkan bertanding, teruskan mendekati pengundi. Jaga kebajikan petugas.

"Ada petugas belakang tabir, mereka tidak dikenali dan disanjung, tidak ke hadapan dalam majlis namun terus bekerja mengharapkan kemenangan calon. Raikan mereka dalam majlis dan doa," katanya dalam kenyataan di Facebook (FB) hari ini.

Beliau turut meminta mereka kekal bersama jemaah, kerana hidup bukan hanya hari ini.

"Ambillah dan renungilah sejarah perjuangan parti yang panjang ini. Jangan kita hitamkan diari hidup semata-mata menurut nafsu kekecewaan, lalu kita rasa pendapat kita lebih hebat dari pandangan jemaah.

"Jangan rasa hebat bila boleh melawan perjuangan Islam, dan jangan rasa hebat sekalipun kamu berjaya mengalahkan perjuangan Islam. Sentiasa berhati-hati dengan tipu daya syaitan, meniup nafsu sombong, kecewa dan rasa hebat," katanya.

Sementara itu, katanya, pembahagian kerusi sudah siap di mana calon pun sudah siap dalam senarai.

"Menunggu pengumuman saja. Kerja sekarang fokus ialah untuk mencapai kemenangan di kerusi kita bertanding. Susun dan bantu capai strategi tepat, gerak kerja perlu tersusun. Jangan banyak nakhoda. Pengarahan biar satu saja.

"Masa ini bukan nak cari kelemahan dan kesalahan tetapi nak tutup kelemahan dan bina reputasi positif dalam kalangan pengundi.

"Apabila kita sudah buat keputusan, melalui puluhan perbincangan, perundingan, perbahasan maka tawakallah kepada Allah. Semoga Allah beri kemenangan kepada Perikatan Nasional (PN)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2022 @ 4:17 PM