Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Wanita yang diserang angin ahmar terpaksa terjun melalui tingkap untuk menyelamatkan diri selepas rumahnya dilanda ribut sehingga memusnahkan keseluruhan atap di Kampung Limau Purut, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, Umi Kalsom Ismail, 57, yang baru sebulan mampu berjalan selepas diserang penyakit itu Disember tahun lalu, bertindak terjun dengan ketinggian hampir tiga meter sehingga menyebabkan kecederaan pada jari kaki.

Katanya, dia yang sedang berehat di ruang tamu pada awalnya dikejutkan dengan hujan lebat sebelum bunyi dentuman disusuli atap rumah tercabut dibawa angin.

"Saya mulanya kaku, tidak tahu berbuat apa memandangkan hanya berseorangan di rumah kerana suami, Sabri Awang Kechik, 58, keluar bekerja. Namun, melihat keadaan makin teruk dengan kayu di atas rumah seperti mahu runtuh, saya kuatkan diri berlindung di dapur.

"Melihat suasana yang semakin menakutkan, saya tidak berani keluar melalui pintu utama kerana kedengaran seperti wayar elektrik terputus kerana dihempap kayu, dan tiada pilihan lain selain terjun melalui tingkap dapur.

"Apabila bahagian atap rumah mula roboh, tanpa berfikir panjang saya terjun dari tingkap dan pada awalnya agak pening untuk bangun semula namun kuatkan diri meminta pertolongan jiran," katanya ketika ditemui selepas menerima lawatan wakil Yayasan Raja Shamri, Tuan Zaimah Raja Omar, di rumahnya di Kampung Limau Purut, di sini, hari ini.

Umi Kalsom berkata, sebaik diberi pakaian oleh jiran, dia baru sedar terdapat darah mengalir di jari kakinya yang hampir terputus.

"Sebaik diberitahu penduduk kampung, suami saya pulang dan menangis melihat keadaan saya yang cedera selain keadaan rumah yang baru dua bulan disiapkan hasil titik peluhnya sendiri.

"Sudah hampir tujuh tahun kami menyewa rumah, baru saja mahu merasa tinggal di rumah sendiri, kami diuji pula dengan ribut yang melanda sehingga menyebabkan atap musnah selain harta benda seperti televisyen, almari dan pakaian tidak dapat diselamatkan.

"Buat sementara waktu, kami berteduh di rumah seorang anak memandangkan kediaman ini masih tidak dapat didiami," katanya yang mempunyai lima anak yang masing-masing sudah berumah tangga dan tinggal berasingan.

Umi Kalsom berkata, dia dan suami buntu tidak tahu bagaimana mahu mencari wang untuk membaiki rumah selepas menghabiskan puluhan ribu ringgit hasil simpanan untuk menyiapkan kediaman mereka sebelum ini.

WAKIL Yayasan Raja Shamri, Tuan Zaimah Raja Omar,  (tengah) menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada  Umi Kalsom (kiri) apabila rumahnya musnah dilanda ribut di Kampung Limau Purut, di sini, semalam. FOTO Syaherah Mustafa
WAKIL Yayasan Raja Shamri, Tuan Zaimah Raja Omar, (tengah) menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada Umi Kalsom (kiri) apabila rumahnya musnah dilanda ribut di Kampung Limau Purut, di sini, semalam. FOTO Syaherah Mustafa

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mac 2021 @ 1:24 PM