Oleh Balqis Jazimah Zahari


Tapah: Pindaan akta Rang Undang-Undang (RUU) Kesatuan Sekerja 1959 yang dipersetujui di Parlimen tidak menindas 15 juta pekerja.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata, sebaliknya pindaan akta itu memberi ruang untuk menambahkan keahlian kesatuan.

"Kalau kita lihat Kesatuan Sekerja sedia ada dari segi keanggotaan walaupun ada 15 juta pekerja tetapi tidak sampai 10 peratus menjadi ahli.

"Jadi, kita buka untuk menambahkan anggota persatuan dimana ramai lagi boleh menyertai," katanya selepas menghadiri Rumah Terbuka Deepavali 2022 di Arena Merdeka di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Gabungan Menentang Kepelbagaian Kesatuan Sekerja (CAMU) yang mendakwa pindaan akta itu membelot 15 juta pekerja.

Saravanan berkata, keputusan bukan hanya dibuat oleh beliau seorang sebaliknya dipersetujui oleh seluruh 220 Ahli Parlimen.

"Ini bukan keputusan saya seorang, saya hanya mencadangkan, kesemua 220 Ahli Parlimen bersetuju," katanya

Beliau berkata, pindaan akta adalah satu usaha baik dan selari budaya antarabangsa yang dikenali melalui Ilo (International Labour Organization).

"Negara ini ketinggalan, satu dunia sudah mengiktiraf akta ini," katanya.

Terdahulu, CAMU dalam kenyataannya menyatakan, pindaan RUU itu membelot 15 juta pekerja dan mengurangkan kekuatan dan kuasa kesatuan serta pekerja merunding di negara ini dengan membenarkan dan mempromosikan kepelbagaian kesatuan dalam sesebuah majikan untuk skop yang sama adalah strategi memecah dan memerintah.

Pada 4 Oktober lalu, Bacaan kedua mengusulkan RUU di kemukakan oleh Saravanan dan di sokong oleh Datuk Halimah Mohamed Sadique di Parlimen.

Media sebelum ini melaporkan Rang Undang-Undang Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2022 yang antara lain bertujuan mewujudkan kerangka perundangan bagi menyokong penubuhan dan pentadbiran kesatuan sekerja secara matang, progresif dan relevan, dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.

Saravanan dilaporkan berkata rang undang-undang itu bertujuan meminda Akta Kesatuan Sekerja 1959 dengan objektif meniadakan sekatan ke atas pembentukan kesatuan sekerja berdasarkan penubuhan tertentu atau persamaan dalam tred, pekerjaan atau industri bagi membenarkan kepelbagaian kesatuan sekerja.

Sidang Media oleh Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan ketika hadir pada majlis Sambutan Hari Deepavali Parlimen Tapah. FOTO L.MANIMARAN
Sidang Media oleh Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan ketika hadir pada majlis Sambutan Hari Deepavali Parlimen Tapah. FOTO L.MANIMARAN

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2022 @ 5:01 PM