Balqis Jazimah Zahari

Tapah: Kes rakyat Malaysia didera dan diperdaya di Kemboja tidak menjejaskan perbincangan kerajaan untuk membawa masuk pembantu rumah dari negara itu, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

"Tidak (menjejaskan), kes seperti ini adalah satu kes berlaku di luar jangkaan kita, bukan sahaja di negara Kemboja," katanya ketika Pelancaran Jentera PRU15 Barisan Nasional (BN) Parlimen Tapah di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu kes dera rakyat Malaysia di Kemboja.

Media sebelum ini melaporkan, 24 rakyat Malaysia menjadi mangsa penipuan tawaran pekerjaan di Phnom Penh, Kemboja diselamatkan dan kembali ke tanah air, hari ini.

Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah dilaporkan berkata, setakat ini, 118 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja diselamatkan daripada 148 kes yang dilaporkan.

Dalam pada itu, Saravanan turut mengulas mengenai langkah Kementerian membawa masuk pekerja asing dari negara lain bagi mengisi kekosongan pekerjaan dalam sektor yang dibenarkan.

"Hari ini kita buka (pengambilan pekerja asing) kepada 14 negara, jadi majikan pergilah mendapatkan pekerja asing dari negara berkenaan.

"Apabila bergantung kepada dua negara sahaja (Bangladesh dan Indonesia), terlalu banyak syarat," katanya.

SARAVANAN berucap pada Majlis Pelancaran Jentera PRU15 Barisan Nasional Parlimen Tapah. FOTO L Manimaran
SARAVANAN berucap pada Majlis Pelancaran Jentera PRU15 Barisan Nasional Parlimen Tapah. FOTO L Manimaran

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2022 @ 2:12 PM