POLIS pencegah rusuhan bertempur dengan penunjuk perasaan di Paris.
POLIS pencegah rusuhan bertempur dengan penunjuk perasaan di Paris.
Agensi

Paris: Kumpulan remaja bertopeng bertempur dengan polis sementara pekerja yang melancarkan mogok mengepung pusat penapisan minyak dan stesen tenaga nuklear kelmarin ketika bantahan terhadap pindaan undang-undang buruh di Perancis bertambah buruk.

Polis melepaskan gas pemedih mata terhadap kira-kira 100 penunjuk perasaan selepas mereka bertindak memecahkan tingkap kedai dan kereta dalam keganasan terbaru berkait dengan undang-undang kontroversi itu.

Dengan dua minggu sahaja lagi sebelum Perancis menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak Euro 2016, aktivis kesatuan sekerja menyekat jalan raya dan jambatan.

Keadaan bertambah buruk apabila pemandu kereta api dan pengawal trafik udara juga melancarkan mogok.

Kesatuan sekerja merancang meneruskan mogok sehingga hari pembukaan Euro 2016 pada 10 Jun depan.

Pegawai berkata, 153,000 orang menyertai tunjuk perasaan kelmarin.

Pemimpin kesatuan sekerja pula berkata, jumlah itu mencecah 300,000.

Menurut Kementerian Dalam Negeri dan jabatan polis Paris, 77 penunjuk perasaan ditahan sementara 15 anggota ;pasukan keselamatan cedera.

Kesatuan sekerja berang terhadap rancangan meminda undang-undang buruh yang dibentangkan di Parlimen oleh kerajaan Sosialis pimpinan Presiden Francois Hollande yang bertujuan memudahkan syarikat mengambil dan memecat pekerja.

Perdana Menteri Manuel Valls berkata, rang undang-undang itu tidak akan ditarik balik.

Banyak organisasi, termasuk Tabung Mata Wang Antarabangsa berkata, pindaan itu diperlukan untuk mewujudkan peluang pekerjaan.

Kesatuan Sekerja pula menuntut ia ditarik balik kerana menyifatkan terlalu memihak kepada majikan dan tidak mungkin dapat mengurangkan kadar pengangguran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2016 @ 6:35 AM