Zanariah Abd Mutalib


Kuala Lumpur: Dewan Rakyat, hari ini kecoh seketika selepas pembangkang tidak berpuas hati dengan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, yang mendakwa Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli ialah 'insan ajaib' yang hanya akan muncul enam hingga 12 bulan sebelum pilihan raya.

Saravanan membuat kenyataan itu ketika penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2022, sebagai maklum balas kepada soalan Datuk Seri Mohd Salim Sharif (BN-Jempol), yang bertanya sama ada persepsi pembubaran Parlimen ketika musim banjir yang sering dimainkan pembangkang akan memberi kesan kepada kemajuan RUU berkenaan.

Beliau yang juga Timbalan Presiden MIC, berkata isu pembubaran Parlimen ketika musim banjir adalah satu drama politik oleh Rafizi.

"Insan ajaib yang dikenali sebagai Rafizi hanya akan muncul enam hingga 12 bulan sebelum pilihan raya. Selepas itu, dia akan hilang.

"Kalau tuan-tuan lihat, Rafizi tidak pernah muncul ketika kita susah semasa Covid-19. Tidak pernah pun ada cadangan daripada Rafizi," katanya.

Kenyataan itu menyebabkan beberapa ahli Parlimen pembangkang bangun dan meminta Saravanan tidak menyalahkan Rafizi serta kembali kepada sesi penggulungan RUU berkenaan.

Lim Guan Eng (PH-Bagan) berkata, pendirian untuk tidak melaksanakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bukan hanya oleh Rafizi tetapi semua parti pembangkang.

"Jika diadakan pilihan raya pada musim tengkujuh, apakah rancangan kerajaan untuk menghadapi banjir serentak dengan PRU? Takkan nak mengayuh sampan untuk pergi membuang undi," katanya.

Saravanan menjelaskan, tiada mana-mana pihak yang menyebut untuk melaksanakan PRU ketika musim banjir.

Katanya, kerajaan sudah pun mempunyai rancangan enam bulan lebih awal untuk menangani masalah bencana itu, mengambil kira pengalaman pada tahun lalu.

"Jika kita membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya pada musim banjir, kenapa pembangkang perlu risau? Rakyat akan sokong anda. Bagilah kita membuat kesilapan.

"Ini seolah-olah mempertahankan kerajaan kita. Kenapa anda risau? Anda yang akan mendapat faedah," katanya.

 Saravanan ketika di Dewan Rakyat.
Saravanan ketika di Dewan Rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2022 @ 3:02 PM