Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Tapah: Kerajaan perkenalkan aplikasi 'Working For Workers' (WFW) khas bagi mengawal selia tindakan terhadap majikan yang culas membayar gaji pekerja khususnya pekerja warga asing.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, aplikasi berkenaan akan dilancarkan dalam masa terdekat dan kini di fasa akhir menerusi penerapan konsep e-gaji (e-Wages) yang turut membabitkan usaha sama serta kawal selia oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Katanya, melalui WFW, maklumat boleh disalurkan pekerja sendiri berkaitan majikan tidak bayar gaji atau bayar lewat melebihi hari ketujuh setiap bulan.

"Saya akui kecacatan kementerian di bawah saya sebelum ini yang dipertanggungjawabkan membela nasib pekerja tidak mengira pekerja warga tempatan mahupun asing kerana kita tidak akses untuk menilai (melalui) platform sedia ada seperti melalui gajet (peranti mudah alih).

"Dengan kerjasama dengan KDN melalui e-Wages, maklumat awal mengenai keculasan mahupun kelewatan pembayaran gaji kita tidak lagi perlu menunggu aduan pekerja sebaliknya boleh terus bertindak apabila ada maklumat," katanya kepada pemberita di Program Malaysia Prihatin Peringkat Parlimen Tapah di Kompleks Sukan Tapah di sini, hari ini.

M Saravanan (berbaju putih) ketika menyampaikan sumbangan kepada ahli jawatankuasa masjid sesrta surau di parlimen Tapah pada Program Malaysia Prihatin peringkat parlimen Tapah, di Kompleks Sukan Tapah. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
M Saravanan (berbaju putih) ketika menyampaikan sumbangan kepada ahli jawatankuasa masjid sesrta surau di parlimen Tapah pada Program Malaysia Prihatin peringkat parlimen Tapah, di Kompleks Sukan Tapah. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan kementeriannya mengenai dakwaan terdapat majikan melaporkan sendiri kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) supaya membuat serbuan ke atas pekerja asing yang bekerja dengan mereka bagi mengelakkan pembayaran gaji.

Perkara itu turut mendapat reaksi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, semalam yang menegaskan siasatan terperinci akan dilakukan susulan dakwaan yang berlaku di tapak binaan kondominium di Setapak, Kuala Lumpur.

Saravanan berkata, setakat ini kementeriannya belum mengambil sebarang tindakan terhadap majikan terbabit memandangkan kes itu berada di bawah bidang kuasa JIM ketika ini.

"Memang sepatutnya Kementerian Sumber Manusia ada kuasa dan boleh bertindak terhadap majikan terbabit termasuk membeku mahupun membatalkan permit, namun sekarang kes itu diteruskan (diserah) kepada JIM yang berada di bawah bidang kuasa KDN," katanya.

#kw gaji, pekerja, asing, culas, KDN, M Saravanan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 April 2021 @ 7:15 PM