Zaid Salim

Kuala Terengganu: Lebih 20 rumah di Kampung Undang, di sini, rosak selepas dibadai puting beliung, hari ini.

Kejadian pada 2.30 petang yang pertama pertama kali berlaku di kampung itu mengejutkan penduduk apabila kepingan atap berterbangan di udara selain ada beberapa pokok tumbang.

Seorang penduduk, Jamsari Mohamad, 43, berkata, ketika kejadian dia bersama ibu, Minah Mat Ali, 69, berada di rumah sebelum dikejutkan dengan bunyi deruan angin yang sangat kuat ketika berehat selepas solat Zuhur.

Katanya, tidak lama selepas itu dia mendakwa kediamannya bergegar sebelum keluar rumah dari untuk meninjau keadaan.

"Sebaik keluar saya terkejut melihat bahagian luar rumah cerah sebelum mendapati semua atap diterbangkan angin.

"Selepas itu saya ke bahagian belakang rumah dan panik melihat kepingan atap berterbangan sebelum mengajak ibu keluar rumah untuk menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui NSTP di lokasi kejadian.

Katanya, ketika kejadian, keadaan di luar rumah hujan dan tiada tanda ribut akan berlaku.

Dia yang bekerja sendiri berkata, akibat kejadian itu, dia mengalami kerugian sebanyak kira-kira RM30,000 apabila lebih 50 keping atap dan siling rumah rosak selain beberapa barangan lain dalam rumah rosak akibat terkena hujan.

Jamsari berkata, berikutan kejadian itu, dia terpaksa bermalam di rumah adik beradiknya sementara semua atap dan bahagian yang rosak diganti baharu.

"Saya bimbang siling rumah yang basah akibat hujan runtuh dan memohon agar pihak berkaitan segera dapat membantu membaiki dengan segera," katanya.

Seorang lagi penduduk, Alias Mat Min, 72, berkata, kejadian ribut di kampung itu adalah kali kedua berlaku selepas kali pertama berlaku tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, kejadian kali ini tidak sama seperti sebelum ini dan banyak rumah rosak.

"Tahun lalu ribut biasa sahaja tetapi kali ini puting beliung dan bersyukur kerana laluan angin tidak mengenai rumah saya.

"Hanya selisih kira-kira 1,500 ela daripada laluan angin, tetapi rumah sepupu saya, Jamsari rosak teruk.

"Saya jangka lebih 20 rumah rosak dan 14 daripadanya mengalami kerosakan teruk," katanya.

PUTING beliung merosakkan lebih 20 buah rumah di Kampung Undang. FOTO Zaid Salim
PUTING beliung merosakkan lebih 20 buah rumah di Kampung Undang. FOTO Zaid Salim

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2022 @ 8:05 PM