Zuliaty Zulkiffli


Yan: "Saya hanya sempat menyebut 'Allah' sebaik melihat pusaran angin puting beliung menghampiri rumah kami dan belum sempat berbuat apa-apa, dinding kayu bahagian atas rumah habis diterbangkan angin," kata Darus Ismail, 63.

Dalam kejadian 3 petang hari ini, kira-kira 14 rumah dan stor sebuah masjid di empat kampung di daerah ini rosak dengan kebanyakan bumbung diterbangkan angin.

Antara kampung terbabit, Kampung Sungai Kering, Kampung Kuala Sedaka, Kampung Selengkoh dan Kampung Kabu 10.

Keadaan itu menyebabkan hampir 70 mangsa terbabit terpaksa menumpang sementara di rumah saudara.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan walaupun kebanyakan penghuni rumah berada di rumah masing-masing.

Menurut Darus, kejadian itu berlaku terlalu pantas iaitu tidak sampai lima minit, selain tiada hujan dan hanya angin kencang ketika itu.

Katanya, hanya dia dan isteri, Faridah Ismail, 57, serta anak bongsu, Mohd Zakuan Darus, 18, berada dalam rumah itu sebelum mereka terdengar pusaran angin dari jauh.

"Saya dengar desiran angin itu kuat sebelum dengar serpihan kayu jatuh bertimpa.

"Tak lama kemudian selepas pusaran angin itu pergi, saya nampak bumbung yang berterbangan jatuh di belakang rumah anak yang terletak bersebelahan rumah," katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Kering, di sini hari ini.

Menantunya, Siti Norshakirah Rosdi, 25, berkata, dia tak sedap hati dan memanggil nama anaknya, Muhammad Ammar Mohd Firdaus, 12 bulan yang ketika itu sedang bermain di ruang tamu rumah.

Katanya, sebaik melihat anaknya datang ke arahnya, tiba-tiba serpihan zink jatuh ke lantai.

"Saya terus menghubungi suami, Mohd Firdaus Darus, 25, kerana takut melihat keadaan rumah yang dimasuki air hujan manakala bahagian atas bumbung rumah bapa mentua pula rosak," katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Operasi Bencana, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, setakat ini pihaknya menerima maklumat sebanyak 14 rumah dan sebuah masjid di empat kampung terjejas.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, Kampung Sungai Kering membabitkan enam rumah dan sebuah masjid, Kampung Kuala Sedaka (4 rumah); masing-masing dua di Kampung Selengkoh dan Kampung Kabu 10.

"Setakat ini anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Yan sedang melakukan operasi mengangkat zink yang berterbangan di kawasan berkenaan," katanya.

MOHD Firdaus Darus (kiri) dan bapanya, Darus mengangkat zink rumah mereka yang berterbangan akibat puting beliung. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
MOHD Firdaus Darus (kiri) dan bapanya, Darus mengangkat zink rumah mereka yang berterbangan akibat puting beliung. FOTO Zuliaty Zulkiffli.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mac 2021 @ 8:28 PM