ALIAS Ismail. FOTO ihsan Alias Ismail
ALIAS Ismail. FOTO ihsan Alias Ismail
Nazdy Harun


Kuala Berang: Bekas wartawan sambilan Harian Metro dan Berita Harian yang kini bertugas sebagai Pegawai Pakar Bahasa di Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Terengganu (PPD) menjadi taruhan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Alias Ismail, 54, akan bertanding di kerusi Parlimen Hulu Terengganu.

Menurutnya, sepanjang 14 tahun bertugas sebagai wartawan sambilan, beliau pernah beberapa kali bertukar agensi media antaranya Berita Harian, Utusan Malaysia dan Kosmo.

"Saya pernah bertugas selama 14 tahun bermula Mac 1995 hingga Disember 2008 sebelum menumpukan sepenuhnya kepada pekerjaan hakiki sebagai kakitangan pendidikan.

"Selain itu saya juga giat menulis buku dan sebanyak 43 buku diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)," katanya.

Alias adalah Ketua Penerangan PKR Terengganu serta Naib Ketua Cabang 2 Hulu Terengganu.

Semalam, PKR mengumumkan senarai penuh calon yang akan bertanding pada PRU-15.

Tiga lagi calon PKR yang bertanding di negeri ini ialah Ahli Jawatankuasa Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Terengganu, Mohd Johari Mohamad, 51, di Parlimen Dungun, Naib Ketua Cabang Kuala Nerus, Mohamad Ngah, 69, dipertaruhkan di Parlimen Setiu.

Hasuni Sudin, 59, yang juga Ahli Jawatankuasa PKR Cabang Kemaman akan bersaing di Parlimen Kemaman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Oktober 2022 @ 11:37 AM