DATUK Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. FOTO Arkib NSTP
DATUK Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. FOTO Arkib NSTP
Faizul Azlan Razak


Kuala Nerus: "Poster yang tersebar ini tiada kena mengena dengan saya dan ia tidak betul," kata Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menteri Besar Terengganu enggan mengulas lebih lanjut yang mengatakan beliau bakal bertanding di Parlimen Kuala Nerus pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 19 November ini.

Kerusi Kuala Nerus kosong selepas penyandangnya, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali yang menang bertanding atas tiket PAS pada PRU-14 mengumumkan keluar parti itu dan menjadi Ahli Parlimen Bebas.

Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS itu berkata, setakat ini pucuk pimpinan masih belum mengumumkan calon yang bertanding pada PRU-15.

"Saya ada tengok poster ini dan mahu tergelak melihatnya. Saya pun tidak tahu siapa yang buat poster ini dan ini tidak betul.

"Malah, saya pun tidak tahu bertanding dimana. Kalau saya bertanding, bertandinglah...kalau tidak, tidaklah," katanya yang ditemui selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan Debat Diraja antara Institut Pengajian Tinggi (IPT) 2022 di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Gong Badak, di sini, hari ini.

Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang. Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian.

Selain Ahmad Samsuri dikatakan bertanding di Parlimen Kuala Nerus, beberapa nama bakal calon Parlimen PRU-15 Perikatan Nasional Terengganu tersebar menerusi poster.

Datuk Ahmad Amzad Hashim dikatakan akan mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu, Hanafiah Mat (Kemaman), Zabidi Yusof (Besut), Datuk Fariz Mustafa Ali (Dungun) dan Khalil Abdul Hadi (Marang).

Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris diletakkan bertanding Parlimen Setiu manakala timbalanya, Datuk Rosol Wahid kekal bertanding di Hulu Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Oktober 2022 @ 3:49 PM