NURUL Izzah. FOTO arkib NSTP
NURUL Izzah. FOTO arkib NSTP
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dijangka bertanding di Parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Ogos depan.

Nama Nurul Izzah yang juga anak sulung kepada pasangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu antara yang disebut-sebut bakal dicalonkan bertanding bagi merampas kerusi Parlimen Kuala Terengganu, pada 12 Ogos depan.

PRK Parlimen Kuala Terengganu diadakan selepas kemenangan calon Pas, Datuk Ahmad Amzad Hashim dibatalkan Mahkamah Pilihan Raya atas dakwaan wujudnya unsur rasuah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) November lalu.

Pada PRU-15 lalu, Ahmad Amzad yang juga bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Terengganu yang dimenangi pada PRU-14 dengan majoriti 40,907 undi.

Pada pertandingan empat penjuru itu, Ahmad Amzad memperoleh 63,026 undi, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Zuber Embong (22,109), Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad daripada Pakatan Harapan (PH) mendapat 10,946 undi dan calon Pejuang, Mohamad Abu Bakar, 481 undi.

Desas-desus Nurul Izzah akan bertanding di Parlimen Kuala Terengganu turut dikaitkan apabila Parti Amanah Negara (Amanah) menyerahkan semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh kepada calon Barisan Nasional (BN).

Difahamkan, nama Nurul Izzah disebut-sebut sebagai calon selepas seorang pemimpin Umno menyuarakan pandangan dan pendapat agar kerusi Parlimen Kuala Terengganu diberikan kepadanya.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri, Ahmad Sabri Ali mengakui timbul spekulasi mengenai Nurul Izzah akan bertanding di Parlimen Kuala Terengganu.

Katanya, spekulasi itu timbul dan menjadi perbualan pengundi di Parlimen Kuala Terengganu selepas seorang pemimpin BN mencadangkan nama Nurul Izzah untuk bertanding di Parlimen Kuala Terengganu.

"Pemimpin BN itu mencadangkan nama Nurul Izzah sebagai calon BN Kuala Terengganu ketika minum selepas program parti Rabu lalu.

"Kita sudah bertanyakan isu Nurul Izzah kepada pimpinan tertinggi Keadilan semalam dan mereka mengatakan spekulasi yang disebarkan melalui pelbagai laman sosial sebagai gurauan," katanya.

Ahmad Sabri menjelaskan, adalah tidak masuk akal dakwaan mengatakan Nurul Izzah akan bertanding di Parlimen Kuala Terengganu.

"Setakat ini Badan Pimpinan Keadilan negeri belum menerima sebarang maklumat, tetapi sentiasa bersiap siaga bersama jentera pilihan raya daripada BN jika dakwaan itu betul," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2023 @ 10:34 AM