GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Fenomena air laut surut yang menyebabkan alur perairan di Terminal Kuala Perlis turun ke bawah paras 1.6 meter menyebabkan feri Langkawi-Kuala Perlis tidak dapat belayar lebih awal.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures, Kapten Baharin Baharom berkata, Feri Star City 6 yang membawa 423 penumpang sepatutnya memulakan perjalanan pada 2.30 petang semalam, namun gagal akibat mengalami kerosakan.

Jelasnya, pihak pengurusan konsortium yang menyedari masalah itu mengambil keputusan menukarkan feri berkenaan kepada Feri Bahagia 99 yang mampu membawa sehingga 555 penumpang.

"Bagaimanapun air laut mulai surut pada 3.30 petang dan jika feri belayar selepas waktu itu, bermakna feri akan tiba lewat di Terminal Kuala Perlis dan keadaan ini boleh menyebabkan perkara tidak diingini berlaku.

"Keadaan ini boleh membahayakan penumpang dan kru feri menyebabkan jadual pelayaran terpaksa dilewatkan kepada jam 10 malam tadi, iaitu selepas air mulai pasang kembali," katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu tular video di media sosial penumpang memarahi kru feri selepas terpaksa menunggu lebih tujuh jam bagi menaiki feri di Terminal Langkawi sehingga berlaku perang mulut, namun keadaan terkawal sebaik feri memulakan perjalanan.

Baharin berkata, kekecohan mula berlaku di Terminal Langkawi pada waktu petang semalam, apabila pihaknya mengumumkan jadual pelayaran feri terpaksa ditunda kepada malam.

"Memang ada berlaku sedikit kekecohan apabila ada penumpang memarahi dan mengeluarkan kata kesat kepada kru feri, tetapi kami terpaksa menangguhkan pelayaran kerana faktor keselamatan.

"Air laut perlu tinggi lebih 1.6 meter di alur perairan Kuala Perlis bagi membolehkan feri berlayar masuk ke Terminal Kuala Perlis, jika tidak feri akan tersangkut di alur berselut tebal," katanya.

Fenomena air laut surut turut menyebabkan semua perjalanan feri Langkawi-Kuala Perlis pada 10 hingga 13 Februari depan terpaksa dibatalkan, namun orang ramai masih boleh menggunakan laluan Langkawi-Kuala Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Februari 2022 @ 2:09 PM