LAPORAN Harian Metro sebelum ini
LAPORAN Harian Metro sebelum ini
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Kesemua 133 penumpang feri yang terkandas di perairan Kuala Kedah petang tadi akan meneruskan perjalanan ke Langkawi pada jam 12 tengah malam ini.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom berkata, perkara itu dipersetujui selepas pihaknya mengadakan perbincangan dengan penumpang feri terbabit yang mahu ke pulau itu malam ini.

Beliau berkata, selepas mendapat kelulusan daripada Jabatan Laut Malaysia (JLM), pihaknya menyediakan feri yang lebih besar untuk membawa 133 penumpang terbabit dari Kuala Kedah ke Langkawi.

"Sebuah feri dari Langkawi akan bergerak jam 10 malam ini dan akan membawa kesemua penumpang dari Kuala Kedah ke Langkawi pada jam 12 tengah malam iaitu ketika air pasang.

"Feri Starcity Express 6 yang terkandas itu setakat ini masih berada di tempat kejadian disebabkan air surut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Baharin berkata, dalam insiden yang berlaku sekitar jam 4 petang tadi, kesemua penumpang berjaya dipindahkan dengan bantuan enam bot nelayan tempatan, sebuah bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) serta sebuah bot tunda sekitar jam 6.35 petang.

Beliau berkata, feri yang terkandas itu akan ditunda malam ini ke jeti.

Media hari ini melaporkan, sebuah feri yang membawa 133 penumpang dari Kuala Kedah ke Langkawi tersangkut berhampiran jeti Kuala Kedah sekitar jam 4 petang hari ini.

Ini adalah kejadian kedua membabitkan feri tersangkut pada tali sauh kapal di kawasan Kuala Kedah dalam tempoh seminggu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2022 @ 9:19 PM