YAKUB Khan. FOTO Ersie Anjumin
YAKUB Khan. FOTO Ersie Anjumin
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Barisan Nasional (BN) Sabah belum membincangkan mengenai nama calon yang sesuai untuk dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) dari negeri ini jika gabungan itu menang secara dominan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Timbalan Pengerusi BN Sabah, Datuk Yakub Khan, berkata apa yang penting jawatan itu yang dicadangkan dalam manifesto PRU-15 untuk Sabah perlu mempunyai kuasa yang diperlukan dalam membawa perubahan kepada negeri ini dan bukan sekadar perhiasan.

"Pada program Pengerusi BN Presiden di Kimanis minggu lalu, beliau mengumumkan untuk mewujudkan tiga jawatan TPM iaitu dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

"Bagi saya secara peribadi perkara ini sangat baik cuma yang kita harapkan ialah jawatan TPM itu mempunyai kuasa dan bukan sekadar perhiasan," katanya ditemui selepas merasmikan Program Digitasi Rekod Mahkamah Anak Negeri Sabah di sini, hari ini.

Yakub yang juga Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Sabah berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada sudah ada nama calon TPM yang dicadangkan setakat ini jika jawatan itu diwujudkan nanti.

"Kita memang bersetuju dan mengalu-alukan cadangan pelantikan jawatan TPM dari Sabah, bagaimanapun setakat ini kita belum membincangkan perkara itu termasuk belum membincangkan nama sesuai untuk calon jawatan berkenaan," katanya.

Semalam, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan mencadangkan nama pemimpin yang berkelayakan untuk menjawat jawatan berkenaan sebagai bukti komitmen BN dalam melaksanakannya.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini meminta Bung Moktar memasukkan jawatan TPM untuk Sabah dalam manifesto PRU-15 khusus untuk Sabah.

Katanya, tiada masalah untuk mewujudkan sehingga tiga jawatan TPM, masing-masing mewakili Sabah, Sarawak dan Semenanjung berikutan tiada dinyatakan dalam Perlembagaan Negara mengenai pelantikan jawatan itu.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRU-15, Yakub berkata, ia tetap diteruskan dan perbincangan mengenai agihan kerusi sudah hampir selesai, hanya menunggu untuk dimuktamadkan.

"Mengenai calon, terpulang kepada parti masing-masing tetapi dalam perbincangan kita menyatakan agar calon yang diletakkan sama ada dalam kerusi BN mahupun GRS perlulah dibincangkan bersama supaya ia adalah calon terbaik untuk mewakili BN dan GRS itu sendiri," katanya.

Difahamkan, GRS dan BN Sabah akan membuat pengumuman serentak berhubung calon masing-masing pada PRU-15 yang dijangka pada awal minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2022 @ 3:00 PM