USYK (tengah) meraikan kejayaannya. -FOTO AFP
USYK (tengah) meraikan kejayaannya. -FOTO AFP
AFP

Riyadh: Oleksandr Usyk dengan penuh emosi menitiskan air mata mengenangkan mendiang bapanya selepas dinobatkan sebagai juara dunia heavyweight dan pemegang empat tali pinggang pertama.

Petinju dari Ukraine berusia 37 tahun itu dinobatkan sebagai pemenang menerusi keputusan juri menewaskan Tyson Fury dari Britain di Riyadh dalam pertarungan heavyweight pertama sejak 1999.

Bekas juara amatur Eropah dan dunia, pemenang pingat emas Olimpik dan juara kelas cruiserweight, masih belum tewas sejak bergelar petinju profesional - kini menambah mahkota tinjunya.

Usyk selepas itu dikejarkan ke hospital kerana memerlukan empat jahitan luka di atas mata kanannya dan imbasan rahangnya, teringat bapanya yang meninggal dunia sejurus selepas kemenangan Olimpik pada 2012.

"Saya rindu ayah saya," katanya sambil mengesat air matanya dengan baju-Tnya. "Saya tahu dia ada di sini."

Usyk turut merindui hari lahir anak-anaknya dan terlepas melihat anak perempuannya melahirkan anak kerana berada dalam kem latihan selama lapan bulan untuk pertarungan menentang Fury yang pada asalnya dijadualkan pada Februari sebelum petinju Britain itu mengalami kecederaan dalam latihan.

Promoternya, Alex Krassyuk percaya bahawa Usyk dinafikan kemenangan "knock-out" apabila pengadil campur tangan ketika Fury kelihatan hampir jatuh di gelanggang pada pusingan kesembilan.

"Saya percaya pengadil menyelamatkan Tyson daripada kemenangan melalui 'knock-out' dan mencuri 'knock-out' pada pusingan kesembilan, yang sepatutnya berlaku," kata Krassyuk.

Tetapi Usyk berkata: "Tiada 'knock-out', tiada masalah."

"Saya tidak fikir tentang itu, apa yang penting saya menang."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 11:27 AM