Hajiji Noor
Hajiji Noor
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Kerajaan negeri menyambut baik cadangan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung mewujudkan tiga jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) termasuk seorangnya daripadanya adalah wakil pemimpin dari Sabah.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pihaknya juga menyokong penuh cadangan terbabit dan bersedia mencari calon pemimpin yang layak mengisi jawatan terbabit sekiranya ia menjadi kenyataan.

"Kita sokong. Kita akan cari seorang yang benar-benar boleh tahan (pemimpin yang memenuhi kelayakan menjadi Timbalan Perdana Menteri).

"Itu yang bagusnya supaya kita ada seorang wakil sebagai Timbalan Perdana Menteri dari Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi majlis Ramah Mesra Deepavali 2022 bertempat di The Magellan Sutera di sini, hari ini.

Semalam, dilaporkan Ahmad Zahid mengumumkan tiga jawatan Timbalan Perdana Menteri masing-masing dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia akan diwujudkan jika BN muncul dominan untuk membentuk kerajaan Persekutuan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Cadangan terbabit dikemukakan oleh beliau semasa Perasmian Program Gelombang Biru BN Zon 3 di Kimanis, semalam.

Selain itu, Ahmad Zahid juga berkata, jalinan kerjasama BN bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah mencapai kata sepakat dan kedua-dua gabungan bakal membantu satu sama lain dalam menghadapi PRU-15.

Beliau juga turut memberi jaminan tidak akan ada pertembungan BN dan GRS dalam soal pembahagian kerusi Parlimen.

Sehubungan dengan itu, Hajiji selaku Pengerusi GRS turut mengulas jalinan kerjasama antara GRS dan BN akan menjadi tunjang kekuatan utama kerajaan negeri Sabah.

"Semuanya baik-baik kerjasama di antara GRS dan BN dalam PRU-15 yang akan datang ini.

"Kita akan pastikan kerjasama ini menjasi satu kekuatan kepada kerajaan negeri kerana kerajaan negeri adalah kerajaan GRS dan BN," katanya.

Dalam pada itu, bercakap mengenai pembahagian kerusi, Hajiji juga berkata perkara berhubung pembahagian kerusi telah selesai.

"Kita akan umumkan (senarai calon) tidak lama lagi. Mungkin beberapa hari sebelum hari penamaan calon," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2022 @ 3:18 PM