MASIDI Manjun (tiga kanan) menyerahkan Bantuan Kewangan Kerajaan Sabah Kepada Sekolah-sekolah dan Badan Keagamaan Bukan Islam 2022 bagi Zon Pantai Barat Selatan dan Pedalaman Bawah di Kota Kinabalu. FOTO ihsan pembaca
MASIDI Manjun (tiga kanan) menyerahkan Bantuan Kewangan Kerajaan Sabah Kepada Sekolah-sekolah dan Badan Keagamaan Bukan Islam 2022 bagi Zon Pantai Barat Selatan dan Pedalaman Bawah di Kota Kinabalu. FOTO ihsan pembaca
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) Sabah yang membentuk kerjasama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dijangka mengumumkan calon masing-masing pada 1 atau 2 November depan.

Setiausaha Agung GRS, Datuk Masidi Manjun, berkata pengumuman itu dibuat selepas semua rundingan dan perbincangan mengenai agihan kerusi dan nama calon selesai sepenuhnya.

Beliau berkata, secara umumnya pembahagian kerusi di antara GRS dan BN sudah selesai, namun ada beberapa perkara perlu dimuktamadkan, khususnya berkaitan pertukaran kerusi di antara kedua-dua gabungan berkenaan.

"Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS, Datuk Hajiji Noor dan juga Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebelum ini sudah mengumumkan bahawa pembahagian kerusi hampir selesai.

"Kalaupun ada, hanya satu atau dua kerusi (belum selesai), itupun lebih kepada cadangan pertukaran bukan kerana jumlah.

"Kita menjangkakan akan mengumumkan calon mungkin pada 1 atau 2 November, iaitu minggu depan," katanya ditemui pada Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan Kerajaan Sabah Kepada Sekolah-sekolah dan Badan Keagamaan Bukan Islam 2022 bagi Zon Pantai Barat Selatan dan Pedalaman Bawah, di sini, hari ini.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, berkata pihaknya yakin tidak akan berlaku pertembungan di antara parti dalam GRS dengan BN pada PRU-15.

GRS dan BN membentuk kerjasama untuk menghadapi lawan pada PRU-15 bagi menjaga kestabilan kerajaan negeri yang dibentuk dengan kerjasama kedua-dua gabungan parti berkenaan selepas Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16) pada September 2020.

Menerusi kerjasama itu, GRS dan BN berharap mencapai persetujuan agihan 25 kerusi Parlimen yang ada di Sabah secara menang-menang untuk ditandingi parti komponen masing-masing.

GRS dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno), manakala BN Sabah merangkumi Umno, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2022 @ 7:59 PM