Mohamed Farid Noh


Pontian: Jaminan melantik wakil dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang diumumkan Barisan Nasional (BN) semalam bukanlah pembaziran malah ia adalah langkah penjimatan.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, jawatan tiga TPM itu adalah lebih baik berbanding membayar gaji dan elaun kepada empat Menteri Kanan yang dipraktikkan kerajaan campuran ketika ini.

"Langkah melantik tiga wakil TPM dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung bukanlah pembaziran malah ia sebenarnya lebih menjimatkan.

"Kita boleh hentikan jawatan empat Menteri Kanan sebelum ini untuk digantikan dengan tiga TPM. Sudah pasti empat Menteri Kanan lebih besar peruntukan gaji dan elaun mereka berbanding tiga TPM.

"Jadi bagi saya, jawatan empat Menteri Kanan yang ditiadakan itu adalah pilihan terbaik apatah lagi alternatifnya adalah tiga TPM.

"Sudah pasti tiga TPM itu dikhususkan tugasan mereka bagi masing-masing membantu Perdana Menteri di Sabah, Sarawak dan Semenanjung," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali Ketua MIC Bahagian Pontian, Ajit Johl, di sini, hari ini.

Semalam media melaporkan jaminan melantik wakil dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung mengisi jawatan TPM itu akan dimasukkan dalam manifesto BN sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Ahmad Zahid dilaporkan berkata, jawatan tiga TPM itu akan diwujudkan jika BN muncul dominan untuk membentuk kerajaan Persekutuan pada PRU-15 nanti.

Jawatan empat Menteri Kanan itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 27 Ogos tahun lalu.

Ia merujuk kepada Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Azmin Ali, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Md Jidin dan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Dalam pada itu, Ahmad Maslan berkata, jaminan melantik wakil dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung mengisi jawatan TPM, adalah 'game changer' untuk BN menghadapi PRU-15.

Katanya, kejutan yang diumumkan Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN itu di Sabah itu, sudah pasti akan menjadikan tawaran manifesto gabungan itu lebih menarik dan istimewa.

"Umno amat gembira dengan tawaran manifesto berhubung tiga TPM membabitkan wakil Sabah, Sarawak dan Semenanjung. Ia adalah 'game changer' bagi BN menghadapi PRU-15 berbanding tawaran parti lain.

"Selama ini, wakil Sabah dan Sarawak tidak pernah diberi peluang sama ada menjadi TPM apatah lagi Perdana Menteri. Sebenarnya tawaran manifesto berhubung tiga TPM itu sudah lama dibincangkan namun baru diumumkan semalam.

"Ia sudah pasti menggembirakan pengundi di Sabah dan Sarawak dan menjadikan manifesto BN lebih menarik dan inklusif berbanding gabungan lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2022 @ 3:17 PM