ISMAIL Sabri. FOTO Bernama
ISMAIL Sabri. FOTO Bernama
Raja Noraina Raja Rahim


Ampang: Cadangan jawatan tiga Timbalan Perdana Menteri (TPM) perlu dimasukkan dalam manifesto Barisan Nasional (BN) sekiranya mahu ia dilaksanakan selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu perlu dibincangkan.

"Tidak tahu lagi (calon TPM), biar kita menang PRU dulu. Sekiranya perkara ini di dalam manifesto, tentu saja kita akan pastikan ia dilaksanakan. Kita tunggu menang dulu baru kita bincangkan.

"Tentu saja kalau kita teruskan dengan cadangan manifesto ini, kita akan dapatkan nama dari wakil Sabah dan Sarawak," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Ekspresi@Finas di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Klang di sini, hari ini.

Terdahulu, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, jawatan tiga TPM akan diwujudkan jika BN muncul dominan untuk membentuk kerajaan Persekutuan pada PRU-15 nanti.

Beliau dipetik berkata, jaminan melantik wakil dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung mengisi jawatan itu akan dimasukkan dalam manifesto BN.

Dalam pada itu, ditanya mengenai kenyataan Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyifatkan cadangan berkenaan cuma janji politik sekadar memenuhi permintaan parti politik di Sabah dan Sarawak, Ismail Sabri berkata, itu pandangan mereka.

"Biar Pas dengan pandangan dia, kita dengan pandangan kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2022 @ 6:02 PM