Zatul Iffah Zolkiply

Chukai: Kerajaan meneruskan pelbagai peruntukan kepada masyarakat luar bandar bagi memastikan nasib mereka terus mendapat pembelaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia dibuktikan menerusi peningkatan peruntukan dalam Bajet 2023 kepada agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) termasuk Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

Menurutnya, Ketengah menerima peruntukan sebanyak RM56 juta pada 2023 berbanding RM39 juta pada tahun ini.

"Saya yakin dengan kemampuan Ketengah untuk membangunkan kawasan ini. Sebab itulah bajet untuk pembangunan kepada Ketengah ditingkatkan oleh kerajaan daripada RM39 juta pada 2022 dan untuk 2023... kita naikkan kepada RM56 juta.

"Kenaikan ini adalah petunjuk bahawa agensi kerajaan yang berada di bawah kepimpinan hari ini adalah cekap dan berintegriti mengurus tadbir ekonomi dengan baik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Warga Ketengah di Kompleks Sukan Bandar Seri Bandi, di sini, hari ini.

ISMAIL Sabri Yaakob beramah mesra bersama warga emas pada Program Ramah Mesra bersama warga Ketengah di Perkarangan Kompleks Sukan, Bandar Seri Bandi, Kemaman. FOTO Ghazali Kori
ISMAIL Sabri Yaakob beramah mesra bersama warga emas pada Program Ramah Mesra bersama warga Ketengah di Perkarangan Kompleks Sukan, Bandar Seri Bandi, Kemaman. FOTO Ghazali Kori

Turut hadir, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Pengerusi Ketengah Datuk Seri Ahmad Said.

Ismail Sabri berkata, sebanyak RM1.9 juta diperuntukkan Ketengah bagi menyediakan 12 rumah baharu dan 87 unit kediaman untuk baik pulih.

Menurutnya, sebanyak tiga koperasi juga dipilih di bawah Program Desa Lestari (PDL) dengan penyaluran geran berjumlah RM1.5 juta.

"Saya mengumumkan seramai 20 suri dari Wilayah Ketengah akan mendapat bantuan pembiayaan peralatan jahitan di bawah Program Suri Impian (Suria) berjumlah RM100,000 bagi menambah pendapatan keluarga sekali gus keluar daripada belenggu kemiskinan.

"Malah, Ketengah turut membayar zakat setiap tahun melalui anak syarikatnya iaitu Ketengah Holding Sdn Bhd yang menyumbang zakat sebanyak RM1 juta kepada tiga kawasan Parlimen iaitu Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu.

"Ini membuktikan bahawa Keluarga Malaysia di luar bandar juga diberi perhatian oleh kerajaan dalam pelbagai aspek terutama ekonomi dan bantuan-bantuan lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2022 @ 2:51 PM