Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 11 pertuduhan memalsukan borang pengisytiharan barangan eksport serta 11 pertuduhan pilihan menggunakan invois palsu, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Feng Seng, 68, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Bagi 11 pertuduhan utama, lelaki yang menjalankan perniagaan penghantaran barang itu didakwa memalsukan borang pengisytiharan barang yang akan dieksport dengan niat untuk menipu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Dia didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Manakala, bagi 11 pertuduhan pilihan, tertuduh didakwa menggunakan dokumen sebagai tulen iaitu invois yang bertujuan dilampirkan bersama borang pengisytiharan barang yang akan dieksport untuk melepaskan barang dagangan, yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk percaya bahawa dokumen itu adalah palsu.

Untuk itu dia dituduh mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan.

Semua kesalahan didakwa dilakukan di Kaunter Pendaftaran, Bay A2, Cawangan Eksport, Bahagian Perkastaman, Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, antara 9 Ogos 2019 hingga 10 Februari 2020.

Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan, Mohammad Azriff Firdaus Mohammad Ali mencadangkan jaminan RM10,000 dan syarat tambahan perlu melapor diri sebulan sekali sehingga kes selesai.

Peguam Mohammad Muzammil Mohammad Hairiri dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh tidak membantah semua cadangan pendakwaan dan memaklumkan isteri tertuduh hadir sebagai penjamin.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan yang dicadang pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan 7 November nanti.

FENG Seng dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini. FOTO Izz Laily Hussein
FENG Seng dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini. FOTO Izz Laily Hussein

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2022 @ 1:20 PM