Izz Laily Hussein

Johor Bahru: Seorang pengurus syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan memberi rasuah RM3,000 kepada pegawai penguatkuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Februari lalu.

Tertuduh, Ma Jian Yet, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa secara rasuah memberikan suapan RM3,000 kepada Ketua Jabatan Penguatkuasaan MBIP, Raja Abu Bakar Raja Yahya sebagai dorongan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan selanjutnya ke atas syarikat milik bapanya yang menjalankan perniagaan tanpa lesen.

Syarikat yang menjalankan perniagaan daging sejuk beku tidak halal itu juga gagal mematuhi Notis Memberhentikan Aktiviti Perniagaan / Menjaja Tanpa Lesen daripada MBIP.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di Pejabat Jabatan Penguatkuasaan MBIP, kira-kira jam 11.30 pagi, 28 Februari lalu.

MA dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan memberi rasuah. FOTO Izz Laily Hussein
MA dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan memberi rasuah. FOTO Izz Laily Hussein

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Pegawai Pendakwa SPRM, Dayang Masneh Deh mencadangkan jaminan RM20,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Chuah Shyue Chien yang mewakili tertuduh memohon satu jumlah jaminan yang minima memandangkan anak guamnya tidak berisiko melarikan diri dan sentiasa memberi kerjasama sepanjang siasatan dilakukan pihak SPRM sejak dia ditahan Februari lalu.

"Tertuduh sudah berkahwin dan mempunyai dua anak masing-masing berusia setahun dan tiga tahun. Tertuduh juga menanggung ibu bapanya yang uzur," katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin warga tempatan sebelum menetapkan 28 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2022 @ 11:53 AM