Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Penjawat awam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas enam pertuduhan menggunakan jawatannya sebagai Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) Gred N19 untuk mendapatkan suapan membabitkan jumlah RM13,480.20, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Nurul Syahirah Omar, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas keenam-enam pertuduhan itu dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan pertuduhan, wanita itu yang bertugas di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Mersing didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dalam mengemukakan sebut harga Amir Barakah Enterprise yang keseluruhannya berjumlah RM13,480.20 melalui dokumen Borang Kajian Pasaran yang mana dia mempunyai kepentingan dalam syarikat itu.

Sebut harga terbabit adalah untuk melaksanakan pembekalan bagi alat-alat ganti kenderaan, kelengkapan pejabat, pembaikan kenderaan jabatan, kelengkapan penyiaran dan perhubungan, kelengkapan elektrik dan elektronik serta pelaksanaan kerja penyelenggaraan kenderaan penumpang.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat JPS Daerah Mersing dekat Mersing, antara Ogos 2020 hingga November 2020.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

NURUL Syahirah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas enam pertuduhan menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan. FOTO Izz Laily Hussein
NURUL Syahirah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas enam pertuduhan menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan. FOTO Izz Laily Hussein

Pegawai Pendakwa SPRM, Nik Lokman Hakim Nik Mohd Nor memaklumkan kepada mahkamah bahawa kesalahan di bawah Seksyen 23(1) akta berkenaan tidak boleh dijamin, namun mencadangkan jumlah jaminan RM30,000 sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara membenarkan tertuduh diikat jamin.

Peguam, Muhammad Faizzudin Abd Ra'fik yang mewakili tertuduh memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin dengan jumlah yang lebih rendah.

"Tertuduh mempunyai seorang anak lelaki berusia lima tahun dan turut menanggung ibu bapanya. Sebaik pertuduhan ini dihadapkan kepadanya, tertuduh digantung kerja.

"Tertuduh juga sedang menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana yang memerlukan perbelanjaan yuran lebih RM15,000," katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin warga tempatan berserta syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan ke mahkamah dan perlu melapor diri sebulan sekali di Pejabat SPRM Johor Bahru.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 16 Mei depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2023 @ 10:54 AM