Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Lelaki warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh kakaknya, minggu lalu.

Said Afendi, 24, faham akan pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah, namun tiada sebarang pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Syarifah Ilawati, 42, yang juga warga Indonesia, di rumah di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai di sini, kira-kira 2 pagi, 24 Disember lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

TERTUDUH (dua kiri) dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tuduhan membunuh kakaknya. FOTO Izz Laily Hussein
TERTUDUH (dua kiri) dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tuduhan membunuh kakaknya. FOTO Izz Laily Hussein

Tiada sebarang jaminan dicadangkan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Mamu yang turut memohon tarikh sebutan baharu sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat.

Mahkamah menetapkan 18 Februari 2024 untuk sebutan semula kes dan tiada jaminan dibenarkan terhadap tertuduh.

Pada prosiding itu, tertuduh tidak diwakili peguam.

Isnin lalu, polis menahan dua warga asing berusia 24 dan 41 tahun disyaki terbabit dalam pembunuhan wanita warga asing di rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2023 @ 11:15 AM