Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Pemandu bas warga Singapura dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan menyeleweng barang kawalan iaitu minyak diesel kira-kira 500 liter.

Tertuduh, Low Yong Pang Benjamin, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Fatimah Zahari.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa berada dalam kawalannya barang kawalan iaitu diesel yang dianggarkan 500 liter dalam sebuah bas persiaran bernombor pendaftaran Singapura dalam keadaan menimbulkan syak bahawa dia berurusan dengan barang kawalan berjadual secara borong atau runcit tanpa lesen.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah stesen minyak di Jalan Kempas Baru di sini, kira-kira jam 10 pagi, 30 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

LOW Yong Pang Benjamin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan disyaki menyeleweng barang kawala. FOTO Izz Laily Hussein
LOW Yong Pang Benjamin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan disyaki menyeleweng barang kawala. FOTO Izz Laily Hussein

Timbalan Pendakwa Raya dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Muhammad Sabiq Mohd Subri mencadangkan jaminan RM20,000 dengan dua penjamin warga tempatan.

Peguam Dahlia Tan yang mewakili tertuduh bersetuju dengan cadangan diberikan pihak pendakwaan sebelum mahkamah menetapkan ikat jamin mengikut jumlah yang dipersetujui.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula sementara menunggu laporan kimia dan laporan pengesahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada 6 Julai depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2023 @ 1:28 PM