Hafidzul Hilmi Mohd Noor dan Izzati Zaidi


Kuala Lumpur: Polis sedang mengenal pasti pembabitan agensi perisikan luar dalam kejadian penculikan warga Palestin di Jalan Mayang, pada 28 September lalu seperti dilaporkan akhbar tempatan semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kasim berkata, setakat ini pembabitan agensi perisikan luar berkenaan tidak dapat disahkan kerana masih dalam siasatan.

"Kami (polis) sendiri tidak tahu macam mana boleh timbul nama agensi Mossad ini. Saya tidak tahu daripada mana dia (wartawan) dapat. Siasatan kita kini sedang berusaha mengenalpasti jika wujud kaitan agensi berkenaan dalam utusan penculikan itu.

"Sehingga kini, kita tidak dapat lagi mengesahkan agensi-agensi luar yang terbabit ini. Jadi bila timbul spekulasi ini dia mengganggu siastan kami,"katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Kerjasama Strategik 'RapidKL Safety Point', di Stesen MRT Kampung Batu, hari ini.

Azmi berkata, pihaknya memohon supaya siasatan berhubung kes penculikan itu tidak diganggu kerana membabitkan sensitiviti.

"Apabila membabitkan sensitiviti dan sebagainya, ia tidak sewajarnya disiarkan. Yang kedua ialah isu keselamatan, saya dimaklumkan oleh pegawai penyiasat ada beberapa saksi namanya sudah disiarkan.

"Jadi ini tidak baik untuk siasatan kami, ia mengganggu siasatan, sebab itu saya berharap media dapat memberikan kerjasama, jika perkara itu boleh beritahu sudah lama beritahu," katanya.

Mengulas berhubung pihaknya merakam keterangan Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Farrah Naz Karim, beliau berkata ia adalah proses biasa.

"Proses berkenaan adalah bagi melengkapkan siasatan, ia proses biasa.

"Saya sering beritahu, kita kini dalam proses membangunkan negara, jadi jangan ada di antara kita yang membantutkan usaha, kita perlu bertanggungjawab," katanya.

Semalam akhbar berbahasa Inggeris, NST dalam laporannya mendakwa ejen Mossad sudah memasuki negara ini dalam usaha mengesan dan menculik rakyat Palestin yang mereka percaya sebagai aset Briged Hamas al-Qassam.

Memetik laporan itu, Mossad dipercayai merekrut aset tempatan untuk membantu rejim Zionis memburu anggota Hamas di Malaysia, termasuk dalam kes penculikan dua lelaki Palestin yang dipercayai aset Briged Hamas al-Qassam di ibu negara, baru-baru ini.

Dalam operasi di tengah-tengah Kuala Lumpur, akhbar itu mendakwa, pasukan perisik memintas dua warga Palestin sejurus selepas jam 10 malam pada 28 September, apabila kedua-duanya mahu memasuki kenderaan diletakkan berhampiran Jalan Yap Kwan Seng, di sini.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata, sebarang spekulasi yang timbul boleh mengganggu siasatan dan mengelirukan masyarakat.

Jumaat lalu, 11 individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini di atas pertuduhan menculik seorang lelaki warga Palestin bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.

DATUK Azmi Abu Kassim (tengah) dan Mohd Azharuddin Mat Sah (kanan) meninjau dengan menaiki train MRT pada majlis perasmian projek perintis Rapid KL “Safety Point” di Stesen MRT Kampung Batu. FOTO Aswadi Alias
DATUK Azmi Abu Kassim (tengah) dan Mohd Azharuddin Mat Sah (kanan) meninjau dengan menaiki train MRT pada majlis perasmian projek perintis Rapid KL “Safety Point” di Stesen MRT Kampung Batu. FOTO Aswadi Alias

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2022 @ 1:05 PM