Asrol Awang

Kuantan: Kerajaan sentiasa meneliti dan memantau setiap dokumen kemasukan rakyat asing ke negara ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sekiranya ada rakyat asing yang memasuki negara tanpa dokumen sah, tindakan akan diambil.

Kata Hamzah, sesiapa sahaja yang masuk ke Malaysia, mereka perlu mengemukakan dokumen sah.

"Bila kita ada maklumat yang mengatakan ada orang masuk menggunakan dokumen tidak sah, kita akan pantau.

"Kalau kita rasa sudah sampai masa kita tangkap mereka, kita akan ambil tindakan sewajarnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan kemasukan ejen perisikan Israel, Mossad yang menculik warga Palestin seperti yang disiarkan dalam New Straits Times (NST).

Perisik terbabit telah memasuki negara ini dalam usaha mengesan dan menculik rakyat Palestin yang mereka percaya sebagai aset Briged Hamas al-Qassam.

Sehubungan itu, Hamzah berkata, Kementerian dalam negeri (KDN) akan membuat penelitian dakwaan kemasukan ejen perisikan terbabit.

"Sebenarnya, perkara seperti ini harus kita teliti, kemudian barulah kita umumkan," katanya.

HAMZAH pada sidang media di Kuantan. FOTO Asrol Awang
HAMZAH pada sidang media di Kuantan. FOTO Asrol Awang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2022 @ 3:34 PM