Hafidzul Hilmi Mohd Noor dan Izzati Zaidi

Kuala Lumpur: Lapan stesen transit aliran ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT) terpilih sebagai pusat respons asas kecemasan awal menerusi Rapid KL Safety Point (RSP).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata pihaknya berterima kasih kepada Prasarana Malaysia Berhad dan Rapid Rail Sdn Bhd atas kerjasama dengan pihak berkuasa membanteras jenayah sejajar hasrat kerajaan mahu menjadikan pusat bandar selamat dan selesa.

Menurutnya, peranan dan tanggungjawab Rapid KL melalui program RSP ini adalah memberi kemudahan seperti rawatan kecemasan kepada pengguna yang memerlukan bantuan selain menghubungi polis atau hospital.

"Sebanyak 261 kes dilaporkan di kawasan pengangkutan awam dari Januari sehingga 12 Oktober tahun ini. Antara kes yang dilaporkan adalah cabul, samun, seluk saku, curi kenderaan dan ragut. Kami mensasarkan penurunan kes sebanyak lapan sehingga 12 peratus tahun depan.

"Program RSP yang membabitkan lapan stesen ini bermula serta merta berkuat kuasa hari ini. Kami berharap kadar perlakuan jenayah di kawasan pengangkutan awam dapat dikurangkan. Pada masa ini terdapat 147 stesen rel LRT dan MRT dan berharap program ini dapat diperluaskan," katanya ketika ditemui pada Program Rapid KL Safety Point (RSP) di sini, hari ini.

AZMI  (tengah) dan Mohd Azharuddin (kiri) meninjau pos kawalan polis bantuan yang di tempatkan di stesen MRT Kampung Batu pada majlis perasmian projek perintis Rapid KL Safety Point (RSP) di Stesen MRT Kampung Batu. FOTO Aswadi Alias
AZMI (tengah) dan Mohd Azharuddin (kiri) meninjau pos kawalan polis bantuan yang di tempatkan di stesen MRT Kampung Batu pada majlis perasmian projek perintis Rapid KL Safety Point (RSP) di Stesen MRT Kampung Batu. FOTO Aswadi Alias

RSP ini adalah kesinambungan daripada inisiatif Go To Safety Point (GTSP) yang diperkenalkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2013.

Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, stesen rel yang dipilih di bawah seliaan Polis Diraja Malaysia Kontinjen Kuala Lumpur (PDRM) bagi projek RSP adalah MRT Kampung Batu, stesen LRT dan MRT Pasar Seni, stesen LRT Masjid Jamek (Laluan Kelana Jaya dan Laluan Ampang), stesen LRT KL Sentral, stesen LRT KLCC dan stesen MRT Bukit Bintang.

Mohd Azharuddin berkata, inisiatif ini dapat meningkatkan keyakinan pengguna pengangkutan awam serta membantu mengurangkan kejadian jenayah di premis pengangkutan awam.

"Mengendalikan jumlah penumpang yang besar adalah tanggungjawab petugas barisan hadapan Rapid KL bagi memastikan keselesaan mereka sentiasa bagus.

"Semua anggota barisan hadapan kami mempunyai kemahiran mengendalikan situasi cemas dan bersedia memberikan pertolongan kecemasan kepada penumpang yang memerlukan bantuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2022 @ 3:37 PM