GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Farah Marshita Abdul Patah


Kuala Lumpur: Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan Gaza merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak berkuasa Malaysia kerana berjaya menyelamatkan seorang rakyatnya yang diculik di ibu kota, bulan lalu.

Penghargaan itu dizahirkan ketika mengulas laporan akhbar New Straits Times bahawa pihak polis berjaya menggagalkan operasi berbahaya oleh operatif Mossad pada 28 September lalu.

Kementerian itu berkata Malaysia berjaya mendedahkan apa yang cuba dilakukan oleh rejim Zionis itu.

"Gaza menghargai usaha hebat yang dilakukan oleh pihak berkuasa Malaysia dalam menyelamatkan rakyat Palestin yang diculik di negara itu oleh Mossad Israel.

"Ini mendedahkan aktiviti ahli Mossad yang beroperasi di luar negara dan rangkaian besar mereka," katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook kementerian berkenaan, di sini, hari ini.

Selain berterima kasih kepada polis dan perkhidmatan keselamatan Malaysia, pihak kementerian turut mengecam jenayah yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin di Malaysia.

Katanya, beliau berharap bahawa pelaku akan dipertanggungjawabkan dan didakwa.

Pada Mei tahun lalu, media Israel melaporkan bahawa rejim Zionis itu mengisytiharkan perang ke atas Hamas di seluruh dunia.

Pegawai tertinggi Israel, berkata pihaknya akan memburu pemimpin Hamas, di mana juga mereka berada.

Tentera Israel menyasarkan pemimpin Hamas bukan sahaja di Gaza, tetapi di Iran, Qatar, Turkiye, dan Malaysia.

Pada 21 April 2018, Fadi Mohamed al-Batsh, 35, seorang profesor Palestin dan ahli Hamas, ditembak mati di Kuala Lumpur.

Dalam operasi terbaru yang dilakukan oleh rakyat Malaysia yang diupah Israel, dua rakyat Palestin bersasaran tinggi, dipintas ketika memasuki kenderaan masing-masing selepas makan malam di Jalan Yap Kwan Seng

Sebuah kenderaan putih memandu ke arah mereka sebelum empat lelaki bertindak memukul dan mengheret salah seorang daripada mangsa ke dalam kenderaan yang menunggu.

Penjenayah itu memaklumkan bahawa "bos mereka mahu bercakap dengannya."

Seorang lagi warga Palestin cuba membantu rakannya namun diberi amaran supaya menjauhkan diri, sebelum beliau meminta bantuan dan membuat laporan polis.

Warga Palestin yang diculik itu dipukul ketika berada di dalam kenderaan dan di chalet.

Satu panggilan video dibuat di hadapan mangsa.

Dalam talian itu, dua lelaki dipercayai warga Israel memberitahu mangsa "Anda tahu mengapa anda berada di sini."

Difahamkan pihak Israel ingin mengetahui mengenai pengalaman beliau dalam pembangunan aplikasi komputer, kekuatan Hamas dalam membangunkan perisian dan siapa anggota Briged Al-Qassam yang dikenali serta kekuatan mereka.

Ketika serbuan dilakukan oleh pasukan polis, soal siasat berkenaan sedang dijalankan dan lelaki Israel di hujung talian yang keliru seketika dengan kekecohan berlaku, kedengaran berkata: "Hello! Hello!", sebelum panggilan ditamatkan.

Soalan terakhir yang ditanya oleh pihak Israel kepada mangsa, sejurus sebelum polis menyerbu masuk adalah siapa dalam kalangan pimpinan tertinggi Hamas yang pernah bertemu rakannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2022 @ 6:42 PM