KESAN kemusnahan akibat serangan Israel di Rafah. FOTO Reuters.
KESAN kemusnahan akibat serangan Israel di Rafah. FOTO Reuters.
Reuters

Kaherah: Briged al-Qassam, sayap bersenjata Hamas, memaklumkan tujuh lagi tawanan yang ditahan di Semenanjung Gaza terkorban akibat pengeboman Israel ke atas kawasan yang dikepung itu.

Jurucakapnya, Abu Ubaida bagaimanapun tidak memaklumkan secara terperinci bila tujuh tahanan itu terkorban.

Briged al-Qassam mengesahkan jumlah tebusan yang terbunuh akibat operasi ketenteraan Israel di Gaza kini sudah melebihi 70 tawanan, kata Abu Ubaida dalam satu kenyataan di Telegram.

Kempen ketenteraan Israel bermula susulan pembunuhan 1,200 orang di selatan Israel dan penculikan sekurang-kurangnya 250 penduduk pada 7 Oktober, menurut pengiraan Israel.

Israel bertindak balas dengan serangan tentera ke atas Semenanjung Gaza yang sudah membunuh lebih 30,000 rakyat Palestin, menurut kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas.

Semasa gencatan senjata selama seminggu pada akhir November, Hamas membebaskan lebih daripada 100 tebusan Israel dan asing sebagai pertukaran untuk Israel membebaskan kira-kira 240 tahanan Palestin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2024 @ 10:11 AM