Oleh Noor Hidayah Tanzizi dan Izzati Zaidi


Petaling Jaya: Hanya 3,600 Orang Bekerja Sendiri (OBS) mendaftar dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sempena Bulan Pemutihan SKSPS 2.0.

Ops pemutihan itu bermula 1 hingga 31 Oktober ini memberikan tumpuan kepada golongan OBS dalam dua sektor mandatori atau yang wajib mendaftar Perkeso iaitu Sektor Pengangkutan Penumpang dan Sektor Pengangkutan dan Penghantaran Barangan atau Makanan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, Ops Pemutihan itu untuk menggalakkan mereka yang bekerja sendiri dalam sektor mandatori mendaftar dan mencarum SKSPS.

Bagaimanapun katanya, masih ramai lagi OBS dalam sektor berkenaan belum tampil ke hadapan untuk melakukannya.

"Setakat ini seramai 3,600 yang sudah berdaftar tetapi masih ramai yang masih belum mendaftar.

"Ops Pemutihan ini memberi peluang kepada mereka untuk tampil mendaftar dan kita memang tekankan. Kalau kita berlembut masih ramai lagi yang tidak mendaftar," katanya pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (SKSPS) Untuk Ejen Penghantar Makanan antara McDonald's Malaysia dan Perkeso di Akademi Vokasional McDonald's Malaysia, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Perkeso Datuk Seri Subahan Kamal dan Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia Datuk Azmir Jaafar.

Untuk rekod, sehingga 27 September lalu, seramai 322,371 OBS aktif bagi dua sektor mandatori berkenaan sudah berdaftar dan mencarum SKSPS dan secara keseluruhannya seramai 559,474 OBS aktif mencarum dengan SKSPS dalam tempoh sama.

Mohammed Azman berkata, kegagalan OBS dalam dua sektor berkenaan untuk mendaftar dan mencarum SKSPS boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) jika disabit kesalahan.

Sehubungan itu, Perkeso memberi peluang dan tidak akan mengeluarkan Notis Amaran SKSPS kepada golongan itu yang tampil mendaftar dan mencarum SKSPS secara sukarela, sebelum atau pada 31 Oktober ini.

"Kita ada dua minggu lagi dan berharap mereka yang berkerja sendiri dalam sektor berkenaan tampil mendaftar. Kalau tidak pegawai penguat kuasa akan mengesan dan melaksanakan keperluan (tindakan) berdasarkan akta sedia ada.

"Kita tidak mahu berbuat demikian, kita mahu menggalakkan jadi sila tampil mendaftar dan mencarum (SKSPS)," katanya.

Bulan pemutihan dilaksanakan sebelum ini iaitu dari 1 hingga 31 Mei 2022 meningkatkan kesedaran OBS dalam dua sektor mandatori iaitu, bagi Sektor Pengangkutan Penumpang, terdapat peningkatan melebihi 100 peratus kepada 33,992 OBS yang berdaftar dan mencarum SKSPS pada Mei 2022 berbanding 2,425 OBS pada bulan April 2022;

Bagi Sektor Pengangkutan dan Penghantaran Barangan atau Makanan, terdapat peningkatan melebihi 100 peratus kepada 37,014 OBS yang berdaftar dan mencarum pada Mei 2022 berbanding 3,192 OBS pada bulan April 2022.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar (dua kiri) bersalaman dengan Mohammed Azman (dua kanan) disaksikan oleh Pengerusi PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal (tiga kanan) di Akademi Mcdonald’s Malaysia, Mutiara Damansara. FOTO AZIAH AZMEE
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar (dua kiri) bersalaman dengan Mohammed Azman (dua kanan) disaksikan oleh Pengerusi PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal (tiga kanan) di Akademi Mcdonald’s Malaysia, Mutiara Damansara. FOTO AZIAH AZMEE

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2022 @ 1:36 PM