AZMIR (belakang, dua dari kiri), Subahan (belakang, tiga dari kiri) dan Dr Mohammed Azman (belakang, kanan) bersama-sama penerima Nota Pelindungan di Akademi Mcdonald’s Malaysia, Mutiara Damansara.
AZMIR (belakang, dua dari kiri), Subahan (belakang, tiga dari kiri) dan Dr Mohammed Azman (belakang, kanan) bersama-sama penerima Nota Pelindungan di Akademi Mcdonald’s Malaysia, Mutiara Damansara.
Noor Hidayah Tanzizi dan Izzati Zaidi


Kuala Lumpur: McDonald's Malaysia menjadi syarikat makanan dan minuman (F&B) pertama dalam negara menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi memastikan penghantar makanannya dilindungi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, pihaknya juga menaja caruman tahun pertama berjumlah RM250,000 bagi memastikan kebajikan 5,000 penghantar makanannya dilindungi.

Menurutnya, dari semasa ke semasa, McDonald's sentiasa mencari jalan untuk mempertingkatkan manfaat atau pemberian insentif kepada penghantar makanan mereka.

"Walaupun bekerja sendiri mengikut kesesuaian masa dan keperluan masing-masing, mereka adalah barisan hadapan kami yang memastikan keberkesanan perkhidmatan McDelivery yang kini adalah antara salah satu segmen perniagaan yang menjana jualan tertinggi untuk syarikat.

"Semua manfaat dan insentif termasuk tajaan melalui SKSPS ini adalah tanda penghargaan syarikat kepada kerja keras mereka bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menikmati hidangan McDonald's kegemaran," katanya pada majlis menandatangani MoU Untuk Ejen Penghantar Makanan antara McDonald's Malaysia dan Perkeso di Akademi Vokasional McDonald's Malaysia di sini, semalam.

Majlis menandatangi MoU antara Azmir dan Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed disaksikan Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal; Naib Presiden Sumber Manusia McDonald's Malaysia, Azhar Darbi dan Timbalan Ketua Eksekutif Operasi Perkeso, John Riba Marin.

Bantuan itu membabitkan pembiayaan oleh kerajaan sebanyak RM186.20 atau 80 peratus daripada jumlah keseluruhan Pelan Caruman Kedua SKSPS sebanyak RM232.80, manakala orang bekerja sendiri (OBS) hanya perlu membayar baki RM46.60 atau 20 peratus untuk tempoh perlindungan selama setahun.

Azmir berkata, penajaan RM250,000 untuk tahun pertama itu sebagai sokongan kepada inisiatif perlindungan sosial Perkeso, sekali gus menggalakkan golongan OBS lain supaya membuat caruman skim ini demi melindungi diri mereka.

"SKSPS dilihat memberi banyak manfaat memandangkan kami kini mempunyai jumlah penghantar makanan yang semakin ramai dan dijangka terus bertambah seiring dengan pertumbuhan positif perniagaan McDonald's.

"Kita menyasarkan sejumlah 500 restoran dibuka di negara ini menjelang 2026, sekali gus menambah lagi 10,000 penghantar makanan dalam tempoh itu," katanya.

Sementara itu, Subahan berkata, Perkeso mengambil pelbagai pendekatan strategik bagi memastikan lebih ramai OBS di negara ini mencarum dengan SKSPS.

"Berdasarkan statistik, 2.7 juta rakyat Malaysia yang bekerja sendiri, namun hanya 568,686 OBS sahaja berdaftar SKSPS setakat 30 September 2022.

"Saya berharap majlis ini dapat memberi kesedaran mengenai kepentingan perlindungan keselamatan sosial dan menarik lebih ramai individu dan pihak lain seperti kementerian, agensi kerajaan, syarikat perniagaan dan persatuan NGO untuk bekerjasama dengan kami bagi melindungi OBS," katanya.

Dalam pada itu, penghantar makanan McDelivery, Nabilah Mahamad Najik, 31, berkata, dia gembira atas manfaat diberikan kepada rider McDonald's di Malaysia memandangkan risiko jalan raya yang mereka perlu hadapi sebagai seorang 'rider'.

"Saya gembira kerana keselamatan rider sekarang terjamin. Saya rasa selamat dan tak perlu rasa takut sekiranya apa-apa berlaku terhadap saya," katanya," katanya.

Namun, Nabilah menegaskan menjadi rider tidak perlu takut kerana itu adalah tugas mereka tetapi perlu berhati-hati ketika bekerja.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2022 @ 7:00 AM