Willy menangis histeria ketika ditahan di Balai Polis Daerah Banten. FOTO Agensi
Willy menangis histeria ketika ditahan di Balai Polis Daerah Banten. FOTO Agensi
Agensi

Jakarta: Seorang suspek kes pemburuan badak Jawa (badak raya), membeli dan menjual organ haiwan yang dilindungi itu, tiba-tiba menangis histeria ketika dia berada di Balai Polis Daerah Banten.

Detiknews melaporkan, ketika dibawa ke balai polis, suspek Liem Hoo Kwan Willy @ Willy pada mulanya menunduk serta membebel terhadap wartawan yang membuat liputan kes itu sebelum keadaannya teruk seperti histeria dan menangis.

Dia mengaku mahu mati kerana ditahan selepas melakukan urus niaga bagi haiwan yang dilindungi itu.

Suspek yang tidak mahu berdiam diri terus menangis ketika dibawa ke bilik Perhubungan Awam Polis Banten sebelum ditenangkan polis.

"Biar saya mati, saya bertaubat, ibu!" teriak Willy.

Timbalan Pengarah Siasatan Jenayah Polis Daerah Banten, Dian Setyawan berkata, suspek sememangnya tidak memberikan kerjasama ketika ditahan.

Tetapi katanya, penyiasat dapat membuktikan bahawa dia adalah pembeli cula (bahagian tanduk badak) badak dari individu dikenali sebagai Sunendi melalui seorang lagi individu, Yogi menjadi perantara dengan bukti sembang melalui WhatsApp dan pemindahan wang bernilai 525 juta rupiah (kira-kira RM155,133).

"Memang orang (suspek) terbabit tidak bekerjasama, tetapi penyiasat dapat membuktikan dengan bukti sembang bahawa transaksi slip berlaku dengan jumlah 525 juta rupiah," katanya.

Yogi mengaku menjual cula badak yang diburu Sunendi kepada Willy. Mereka bertemu beberapa kali iaitu di rumah Willy di Pademangan, Jakarta Utara, dan di lobi sebuah hotel di Jakarta Barat.

"Jadi ia boleh mengesahkan bahawa Willy walaupun tidak mahu bekerjasama, penyiasat boleh membuktikan bahawa dia yang menerima pembelian cula badak itu," katanya.

Dian Setyawan, Willy berasal dari Surabaya tetapi tidak fasih berbahasa Indonesia dan suspek itu juga dikesan banyak menghabiskan masa di China.

"Dia warga Indonesia kelahiran Surabaya, tetapi dia tidak fasih berbahasa Indonesia, kerana dia banyak tinggal di China. Kami tidak tahu aktivitinya di China," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 3:12 PM